Proton jangka akhiri 2021 lebih mantap, selepas jualan meningkat

 Proton jangka akhiri 2021 lebih mantap, selepas jualan meningkat

Penghantaran kereta Proton ke pasaran eksport seperti Pakistan turut disambung semula. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Proton Holdings Bhd dijangka mengakhiri 2021 dengan lebih mantap selepas menyaksikan aktiviti pengeluaran, jualan dan eksportnya mula memulih, seterusnya menyumbang kepada peningkatan angka penjualan mulai bulan ini.

Pengeluar kereta nasional itu dalam kenyataan menjelaskan ia mencapai jumlah jualan keseluruhan sebanyak 5,354 unit dari Jun hingga Ogos lepas, yang merangkumi gabungan pendaftaran dalam talian serta eksport.

“Pengeluaran yang agak terhad dibuat di kilang syarikat di Tanjung Malim selepas Perak diletakkan di bawah Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 5 Julai 2021.

“Bagaimanapun, ini adalah untuk waktu yang terhad disebabkan kekurangan alat ganti dari vendor yang berlokasi di Selangor,” kata Proton.

Pada hujung Ogos, jumlah jualan dicatatkan pada 62,637 unit, menokok 1.6 peratus berbanding dengan tempoh yang sama semasa 2020.

“Jumlah keseluruhan jualan yang agak memberangsangkan sehingga Ogos lepas, mencerminkan prestasi Proton yang kukuh pada lima bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah berkata tahun ini memberikan cabaran kepada industri automotif selepas jualan agak terencat akibat sekatan pergerakan, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain.

“Namun, kami yakin empat bulan terakhir tahun ini akan menyaksikan peningkatan jumlah jualan industri secara lebih menyeluruh,” katanya.

Penghantaran kereta Proton ke pasaran eksport seperti Pakistan turut disambung semula.

Negara tersebut akan menerima tiga penghantaran Proton X70 berjumlah kira-kira 108 unit pada bulan ini, berserta dengan unit pemasangan tempatan (CKD) Proton Saga pada akhir Oktober.

“Selain pelanggan pasaran Malaysia, pasaran eksport Proton juga mendapat keuntungan daripada kegiatan pengeluaran semula.

“Masih terlalu awal untuk mengumumkan seberapa cepat kami dapat memenuhi pesanan yang telah tertunggak tetapi kami semakin menutup jurang itu pada setiap hari,” kata Roslan lagi.

Selain itu, katanya, pelaksanaan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) adalah penting bagi prestasi Proton sepanjang tahun ini.

Pembuat kereta itu menyatakan bahawa lebih daripada 93 peratus kakitangannya diberi vaksin sepenuhnya, sementara lebih 75 peratus pekerja di vendor dan pengedar juga berada di bawah penarafan yang sama.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

18  +    =  26