Proses tukar wang RM7.5 juta kepada cek, babitkan Zahid adalah “cuci duit” – Pegawai Penyiasat

 Proses tukar wang RM7.5 juta kepada cek, babitkan Zahid adalah “cuci duit” – Pegawai Penyiasat

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa proses penukaran wang tunai berjumlah RM7.5 juta kepada 35 cek dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah aktiviti ‘cuci duit’ daripada sumber yang meragukan.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Fahmee Mohamad Nor, 39, berkata ini berdasarkan siasatannya terhadap keseluruhan kes melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-95 itu berkata demikian pada hari ke-49 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Mengikut pertuduhan  pengubahan wang haram ke-27, Ahmad Zahid didakwa telah mengarahkan pengurup wang Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 membabitkan 35 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Lewis & Co untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank yang merupakan hasil aktiviti haram.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, saksi itu berkata Omar Ali  memberitahu bahawa beliau tidak mengenali individu yang memberi wang tersebut kepadanya sebelum menukarnya kepada cek atas nama Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

“Omar Ali mengatakan bahawa beliau tidak mengenali individu yang memberi wang tersebut dan hanya memaklumkan orang itu berpakaian kemas dan ia (pemberian wang) adalah arahan daripada Datuk Seri Zahid,” katanya.

Semalam, Mohd Fahmee memberitahu mahkamah bahawa Omar Ali memperoleh sejumlah wang yang banyak daripada beberapa individu yang tidak dikenali di Syarikat Marhaba Enterprise Sdn Bhd, miliknya.

Ditanya Harris Ong, adakah hasil siasatan mendapati wang tersebut adalah sumbangan daripada Yayasan Al Bukhary, Mohd Fahmee menjawab: “Tidak, dan sepanjang siasatannya tidak menemui resit berkaitan sumbangan daripada yayasan tersebut.”

“Yayasan Al Bukhary merupakan sebuah yayasan yang besar, namun saya tidak menjalankan siasatan ke atasnya secara mendalam. Saya tidak lihat akaun (yayasan), tidak rakam percakapan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary.

“Saya putuskan untuk tidak menyiasat yayasan itu secara mendalam kerana Omar Ali tidak mengenali orang yang memberi duit tersebut,” jawabnya ketika disoal mengenai siasatan terhadap yayasan tersebut.

Semasa disoal Harris Ong, sama ada dia dihubungi individu dari Yayasan Al Bukhary selepas Omar Ali memberikan keterangan (di mahkamah), Mohd Fahmee menjawab: “Tidak”.

Terdahulu, ditanya peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, adakah saksi itu mengetahui Omar Ali ada memberi keterangan di mahkamah bahawa sumber wang tersebut adalah derma daripada Yayasan Al Bukhary, Mohd Fahmee bagaimanapun tidak menjawab soalan tersebut.

Mohd Fahmee bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa inti pati pertuduhan pengubahan wang haram adalah daripada mana sumber wang tersebut.

Beliau juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa Yayasan Al Bukhary adalah sebuah yayasan yang besar dan kukuh.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
–fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Terdahulu, pendakwaan kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akalbudi, hari ini meminda satu pertuduhan dalam kes pengubahan wang haram dengan menambah nilai dan jumlah cek.

“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya. Terima kasih… saya mengaku tidak bersalah,” kata Ahmad Zahid.

Beliau membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pindaan kes pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah sebelum perbicaraan kesnya bermula.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong memohon kepada mahkamah untuk meminda nilai serta jumlah cek pada pertuduhan ke-27 dan hakim mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan kepada Ahmad Zahid, 68.

Pindaan itu dengan membuang jumlah “RM6,885,300.20” serta “30 keping cek dan diganti kepada  “RM7,511,250.20” dan “35 keping cek”.

Mengikut pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram, dengan mengarahkan Omar Ali Abdullah, mengubah wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek yang kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co. untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Ahli Parlimen Bagan Datuk didakwa melakukan perbuatan itu di Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Jalan Bukit Bintang, dekat sini pada 29 Mac 2016 dan 15 Julai 2016.

Ahmad Zahid, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Semua pertuduhan pengubahan wang haram  mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  54  =  58