Proses ketat untuk profesor UMT 

 Proses ketat untuk profesor UMT 

Oleh Mohammad Ishak

KUALA TERENGGANU,19 Feb: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memandang berat dakwaan ada ahli akademiknya yang menerbitkan makalah akademik menggunakan ‘jurnal pemangsa’ (predatory journal).

Jurnal pemangsa secara amnya bermaksud penerbit jurnal akademik yang lebih mementingkan keuntungan berbanding integriti. Penerbit-penerbit tidak beretika ini tidak mempunyai standard atau quality control dan artikel yang diterbit selalunya tidak dikaji semula oleh mana-mana pakar di dalam bidang yang terbabit.

Prof Datuk Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar

Naib Canselor UMT, Prof Datuk  Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar berkata, proses dan prosedur kenaikan pangkat kepada jawatan profesor yang dilaksanakan di UMT akan melalui pelbagai proses saringan ketat dan memenuhi syarat kecemerlangan akademik yang diperakukan oleh Senat.

Beliau berkata, sebagai badan akademik tertinggi di universiti dan juga diluluskan oleh Lembaga Pengarah Univesiti kriteria kenaikan pangkat sebagai profesor di universiti itu antara lain merangkumi amanah pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penerbitan buku dan artikel jurnal terindeks, pemindahan ilmu, pembentangan ilmiah serta kepimpinan akademik dan pengurusan.

“Berdasarkan kriteria di atas, penerbitan bukan kriteria mutlak yang membolehkan seseorang pensyarah dipertimbangkan kenaikan pangkat sebagai professor. Semua kriteria yang ditetapkan perlu dipenuhi oleh setiap pemohon. Selain itu, permohonan juga perlu melalui beberapa proses saringan yang ketat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar tempatan mengenai dakwaan ahli akademik di UMT menerbitkan makalah akademik menggunakan jurnal pemangsa.

“Calon juga perlu mengemukakan permohonan melalui Dekan, Pengarah Institut atau Pusat masing-masing. Jika disokong oleh ketua jabatan berkenaan, suatu jawatankuasa yang dianggotai oleh profesor di peringkat fakulti/pusat atau institut berkenaan akan menapis dan menilai kewajaran permohonan calon,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, bagi calon yang gagal melepasi saringan dalaman ini, permohonan tidak akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penapis di peringkat universiti.

“Apabila permohonan dibawa ke Jawatankuasa Penapis di peringkat univesiti, ia akan disaring dan dinilai oleh jawatankuasa yang dianggotai antaranya oleh ahli Senat yang bertaraf profesor,”katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18  −    =  17