Projek tebatan kurangkan masalah banjir Sungai Kadamaian

 Projek tebatan kurangkan masalah banjir Sungai Kadamaian

Kota Belud kerap dilanda banjir selepas kejadian gempa bumi di Ranau pada 2015.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA KINABALU, 4 Mac: Kerosakan ekosistem Sungai Kadamaian dekat Kota Belud yang menyebabkan daerah itu kerap dilanda banjir besar serta kekurangan air bersih untuk kegunaan penduduk dan pengairan pertanian, dijangka berakhir selewat-lewatnya tahun depan.

Ini berikutan peruntukan kecemasan sebanyak RM50 juta bagi projek tebatan sungai di daerah itu termasuk Sungai Kadamaian, selain Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang yang kini dalam proses pembinaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengumumkan peruntukan itu selepas melawat daerah berkenaan, Sabtu lalu.

Keseluruhannya, kementerian itu memperuntukkan RM77 juta bagi projek tebatan banjir untuk mengatasi masalah banjir yang kerap melanda daerah terletak di utara Sabah itu.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, selain empat sungai berkenaan, sebanyak RM27 juta diperuntukkan bagi rancangan tebatan Sungai Gurong-Gurong yang turut menyumbang masalah banjir yang dijangka siap tahun depan.

Baru-baru ini, Wacana.my melaporkan gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu di Ranau, Sabah pada Jun 2015 yang mengorban 18 nyawa termasuk pendaki dan malim gunung turut merosakkan ekosistem Sungai Kadamaian di Kota Belud yang bersempadan Ranau.

Ikan kelah mati akibat kerosakan ekosistem Sungai Kedamaian

Hampir enam tahun berlalu, gempa bumi terkuat dalam sejarah Malaysia itu meninggalkan banyak kesan khususnya kerosakan ekosistem sepanjang Sungai Kadamaian yang menyumbang kepada masalah banjir.

Kira-kira 1,500 hektar lereng Gunung Kinabalu mengalami runtuhan dengan ratusan bongkah batuan pelbagai saiz berkumpul di lereng bukit dan lembah sungai khusunya di Sungai Kadamaian.

Tanah runtuh yang berleluasa serta aliran debris dan banjir lumpur yang berulang merosakkan tadahan air Gunung Kinabalu dan mengubah sistem saliran sungai.

Tuan Ibrahim berkata, pembinaan tebatan banjir itu diyakini akan mengurangkan risiko banjir di Kota Belud yang merekodkan sebanyak 86 kali bencana alam itu selepas berlakunya gempa bumi pada Jun 2015.

Beliau berkata, kejadian gempa bumi itu menyebabkan berlaku perubahan bentuk muka bumi terutama di lembangan sungai khususnya Sungai Kadamaian yang menjadi antara faktor berlaku kekerapan banjir di Kota Belud.

“Kementerian saya bersama kerajaaan negeri dan agensi berkaitan juga akan mencari penyelesaian masalah muara sungai yang dipenuhi longgokan pasir yang menyekat pengaliran air sungai berkenaan,” katanya.

Seorang penduduk Kota Belud, Amran Yan Sibin, 45, berkata walaupun Sungai Kadamaian sukar dipulihkan seperti sedia kala namun peruntukan besar itu amat bermakna kepada penduduk setempat.

Katanya, penduduk tidak lagi tahan membersihkan rumah akibat kekerapan banjir, selain menyebabkan kerosakan perabot dan padi.

Beliau berkata, peruntukan besar berkenaan membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat prihatin dan cakna masalah rakyat.

“Awal tahun ini saja sekurang-kurangnya tiga kali banjir besar yang merosakkan tanaman khsusunya padi yang sedang menguning dan menunggu masa dituai,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

79  −  77  =