Program vaksinasi ‘walk-in’ di Kota Tinggi tidak sahih

 Program vaksinasi ‘walk-in’ di Kota Tinggi tidak sahih

Poster yang tular berkenaan program vaksinasi secara ‘walk-in’ bagi warga Kota Tinggi adalah palsu.

KOTA TINGGI, 24 Ogos — Poster berkenaan pemberian vaksin secara ‘walk-in’ yang tular dalam media sosial khusus untuk warga Kota Tinggi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mawai, Taman Daiman, di sini adalah tidak sahih.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil merangkap Pengerusi COVID Immunisation Task Force (CITF) daerah berkata, pihaknya masih belum berhasrat untuk melaksanakan pemberian vaksinasi secara ‘walk-in’ di daerah tersebut.

Walau bagaimanapun, perkara tersebut sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

“Berikutan tular baru-baru ini dalam media sosial berkenaan pemberian secara ‘walk-in’ di daerah Kota Tinggi adalah dengan ini dimaklumkan tidak sahih.

“Cadangan pelaksanaan pemberian vaksinasi secara ‘walk-in’ masih belum ada, namun perkara ini sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai aspek dan perbincangan lanjut bersama CITF negeri,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Terdahulu, poster tular itu memaparkan maklumat berkenaan program vaksinasi secara ‘walk-in’ pada 27, 28 dan 29 Ogos bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang.

Turut dipaparkan syarat-syarat ‘walk-in’ yang perlu dipatuhi termasuklah warga emas berusia 60 tahun ke atas serta belum menerima janji temu dalam MySejahtera juga mempunyai penyakit lain (comorbid).

Orang ramai juga diminta membawa kad pengenalan, bil elektrik atau air selain boleh berhubung bilik gerakan CITF Kota Tinggi untuk sebarang pertanyaan.

Hingga kini terdapat tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam yang telah beroperasi bagi melaksanakan pemberian vaksin khususnya untuk penduduk Daerah Kota Tinggi.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  7