Program Khas Rumah Johor bina 115,000 rumah mampu milik

 Program Khas Rumah Johor bina 115,000 rumah mampu milik

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 115,000 rumah mampu milik akan dibangunkan di seluruh negeri ini menerusi pelaksanaan Program Khas Rumah Johor dengan kerjasama pemaju perumahan swasta.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, harga rumah yang dibina menerusi program ini antara RM80,000 hingga RM300,000.

Katanya, usaha itu digerakkan menerusi sebuah entiti perumahan Johor yang mampu mempercepatkan pengurusan dan pembangunan.

“Menerusi program ini, sebanyak 115,000 unit rumah mampu biaya yang tertunggak sejak 24 tahun akan dapat dibina, iaitu 75 peratus daripada 153,000 unit yang tidak dibina sejak 1997 hingga 2020.

“Hal ini bakal memberi peluang kepada rakyat Johor untuk memiliki rumah mampu biaya yang berkualiti dan bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Khas Rumah Johor mengutamakan pembinaan rumah bertanah, iaitu bagi kawasan kurang empat hektar akan dibina rumah bertingkat dan tidak melebihi tiga tingkat, manakala di central business district (CBD) akan dibina rumah berstrata tinggi. 

Bagi kawasan luar wilayah Iskandar Malaysia, semua rumah dalam program itu akan dibina atas tanah. 

Beliau berkata, program berkenaan baharu diperkenalkan dan kini kerajaan negeri dalam proses memberi penjelasan kepada pemaju dan jabatan serta agensi kerajaan tentang pelaksanaannya.

“Program Khas Rumah Johor ini menekankan pembinaan rumah yang memenuhi cita rasa pembeli bukan sekadar memenuhi dasar di atas kertas, namun rakyat hidup di rumah yang sempit dan sesak.

“Jualan dan agihan akan dibuat secara telus kepada pembeli dengan pengundian akan dipantau Bahagian Perumahan dan Unit Integriti Negeri Johor.

“Kerajaan negeri telah memutuskan semua pemohon akan disemak kelayakan oleh Pejabat SUKJ Bahagian Perumahan Johor dengan proses agihan rumah dibuat secara undian,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +    =  11