Program di sekolah jadi asas industri betta

 Program di sekolah jadi asas industri betta

Mohd Afendy Idris

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 8 Feb: Program mengenali ikan hiasan tempatan dan kaedah pembiakannya di sekolah boleh menjadi asas memupuk minat pelajar menceburi industri penternakan termasuk ikan pelaga (betta) sepenuh masa atau sambilan selepas tamat persekolahan.

Saranan itu turut bersandarkan realiti ada ratusan ribu peminat betta di negara ini yang sedia menjadi pembeli betta untuk menambah koleksi ikan masing-masing. Rekod Jabatan Perikanan pada 2018 pula menunjukkan eksport betta Malaysia mencecah RM57 juta melibatkan 50 juta ikan. Pengimportnya ialah Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan Taiwan.

Aktivis wild betta, Mohd Afendy Idris berkata, program itu juga mampu memupuk cinta pelajar terhadap ikan hiasan tempatan dan mendorong mereka mencintai kelestarian alam sekitar termasuk di habitat asalnya.

Beliau menganggarkan ada lebih 4,000 penggemar wild betta khususnya Betta Imbellis di seluruh negara dan sebahagian mereka turut menternak dan menjual spesies itu.

“Memang ada pihak beranggapan menternak ikan hiasan tidak menjamin masa depan. Sesetengah yang lain pula menganggap ia hobi bermusim. Tetapi Jabatan Perikanan melihat potensinya dan menggalakkan orang ramai menyertai kursus penternakan ikan hiasan yang ditawarkan,” katanya kepada Wacana.my.

Berdasarkan pengalaman sebagai aktivis betta, ikan itu boleh diangkat menjadi industri terancang dan pro alam sekitar. Namun kekangan yang dihadapi ialah soal pembiayaan memandangkan induk betta betina terbaik mencecah RM800 seekor. Seterusnya, kos lain melibatkan pembelian takungan pembiakan tong besar, rak serta balang untuk ikan berusia 2 hingga 3 bulan.

“Kerajaan diharap dapat membantu penternak dengan menyuntik modal kira-kira RM7,000 untuk membeli lima induk berharga RM5,000 dan baki RM2,000 untuk membeli makanan serta peralatan untuk tempoh empat bulan. Sistem pawah juga boleh diwujudkan supaya penternak turut berkongsi  keuntungan dengan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, kegiatan milelong dan menjual betta secara online turut menyumbang kepada industri perkhidmatan penghantaran. Pos Malaysia sebagai sebuah syarikat kerajaan pula disaran membantu industri dengan menyediakan logistik bagi menghantar ikan kepada pelanggan.

Afendy optimis betta Malaysia mampu bersaing dengan betta Thailand dan Indonesia di pasaran antarabangsa dengan harga yang tinggi.

Aktivis betta di Johor, Mohd Fadzil Abdul Aziz atau dikenali sebagai Kasawari Betta di FB,  yakin betta di negara ini boleh menjadi satu lagi industri ternakan ikan hiasan seperti di Thailand dan Indonesia.

Menurutnya, kebanyakan persatuan betta berdaftar dengan Jabatan Perikanan dan ini memudahkan semua perkara berkaitan betta diselaraskan dan digembeleng menerusi satu agensi.

“Kita juga telah mengeksport betta ke Indonesia, Thailand, Brunei, Hong Kong dan China. Istimewanya betta ialah mampu melibatkan penggemar dari segenap peringkat, usia, jantina dan bangsa. Betta kini menjadi ikan hiasan popular di rumah dan pejabat,” katanya.

Berdasarkan  pengalaman sebagai Player Competition kira-kira empat tahun dalam dunia betta dan dua tahun sebagai penjual, beliau mampu meraih pendapatan bulan ‘yang menarik’. Katanya, aktivis sepenuh masa pula mampu meraih pendapatan sehingga RM50,000.

Selain ikan, industri betta turut melibatkan pengeluaran dan penjualan pelbagai aksesori serta lebih 100 jenis supplement.                                                                              

“Untuk mengangkat betta sebagai industri, setiap persatuan dan peniaga perlu mendaftar dengan Jabatan Perikanan supaya antara lain,  eksport boleh ditingkatkan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  76  =  85