Program bersih pantai Ramadan mampu jadi tarikan pelancongan – Exco Terengganu

 Program bersih pantai Ramadan mampu jadi tarikan pelancongan – Exco Terengganu

MARANG, 28 April — Persekitaran pantai Kelulut di sini yang biasanya sunyi berubah ceria dan meriah dengan pemasangan lebih 80 api jamung dan pelita bersempena program Bersih Pantai Ramadan yang berlangsung malam tadi.

Suasana di pantai pelancongan itu bagaikan mengimbas semula kenangan ketika zaman 1960-an yang mana penggunaan elektrik masih belum meluas menyebabkan rakyat Terengganu bergantung sepenuhnya pada api jamung dan pelita untuk melakukan pelbagai aktiviti pada waktu malam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata program Bersih Pantai Ramadan itu berpotensi menjadi tarikan pelancongan negeri pada masa akan datang.

“Konsep program ini sangat unik kerana ia menghidupkan semula tradisi lama penduduk Terengganu dan secara tidak langsung membuktikan Ramadan bukanlah tempoh untuk umat Islam bermalas-malasan dalam menjaga kebersihan.

“Kerajaan negeri berharap program inisiatif Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ini dapat dicontohi oleh daerah lain supaya kebersihan pantai sepanjang 244 kilometer di negeri ini sentiasa terjaga untuk keselesaan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau aktiviti gotong-royong itu yang turut dihadiri Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak di sini malam tadi.

Program itu yang baru diperkenalkan tahun ini melibatkan lebih 40 peserta di lima lokasi pantai pelancongan di Marang selepas solat tarawih untuk bergotong-royong mengutip sampah seperti botol plastik, kaca, kayu serta sisa-sisa buangan yang dihanyutkan ombak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Ariffin Deraman (tiga, kiri) turun padang bersama para peserta mengutip sampah di sekitar pantai pada Program Bersih Pantai Ramadan anjuran Pejabat Daerah Marang di Pantai Kelulut malam tadi

Ia bermula pada 15 April lepas di Pantai Rhu Renggeh, Rusila diikuti Pantai Angin Berbisik, Merchang  (23 April), Pantai Kelulut (27 April), Pantai Pulau Kekabu (3 Mei) dan Pantai Jambu Bongkok (7 Mei).

Sementara itu, Tun Ahmad Faisal berkata program itu bertujuan mendidik komuniti setempat supaya sentiasa mengutamakan kebersihan di lokasi pelancongan dan tidak menjadikan Ramadan sebagai alasan kebersihan pantai terabai.

“Jumlah peserta juga tidak ramai kerana kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan ini membuktikan aktiviti gotong-royong tidak perlu dilaksanakan dalam skala yang besar namun ia berjaya memberi impak yang sangat positif.

“Masa yang diambil untuk gotong-royong juga tidak terlalu lama kerana kita faham kekangan waktu yang ada pada Ramadan namun sekiranya ia dilaksanakan secara konsisten, pasti mampu menonjolkan imej Marang sebagai lokasi pelancongan yang bersih dan menjadi tarikan ramai,” katanya.

Beberapa peserta yang ditemui Bernama pula mengakui teruja dengan suasana indah yang melatari aktiviti gotong-royong itu kerana ia pertama kali diadakan tahun ini.

Mohd Azimi Mohd Delana, 18, berkata beliau menyertai aktiviti itu bersama lapan rakannya selepas dipelawa oleh Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru yang mahu generasi muda turut menyumbang tenaga untuk membersihkan pantai.

“Memang cantik sangat pemandangan pantai malam ini. Ramai yang bertanya di mana lokasi saya berada selepas melihat gambar dan video yang saya muat naik di WhatsApp dan Instagram,” katanya yang mahu mengajak lebih ramai rakan menyertai program itu pada masa akan datang.

Bagi Marzuki Ismail, 60, pemasangan api jamung dan pelita itu mengubat kerinduannya terhadap kenangan ketika masih kecil dan berharap program itu akan diteruskan pada masa akan datang sebagai pendedahan kepada generasi muda agar terus menghargai warisan budaya Terengganu.

“Program ini perlu diperhebatkan kerana ia mampu menarik kedatangan pelancong yang mahu merasai pengalaman istimewa pada Ramadan di Marang pada masa akan datang,” katanya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1