Program Bakul Makanan, Foodbank bantu orang susah

 Program Bakul Makanan, Foodbank bantu orang susah

KUALA LUMPUR, 3 Julai — Inisiatif kibar bendera putih yang hangat diperkatakan oleh rakyat baru-baru ini membuktikan bahawa masih wujud sikap kemanusiaan serta belas kasihan di kalangan masyarakat.

Inisiatif ini telah menarik perhatian seluruh Malaysia selain disertai oleh pelbagai individu, komuniti serta badan bukan kerajaan di seluruh negara.

Tinjauan Wacana.my di sekitar ibu kota mendapati kebanyakan kedai runcit atau serbaneka telah menyediakan ruang khusus untuk orang ramai menyumbang barang makanan serta barang keperluan kepada mereka yang memerlukan.

Antara barang yang disumbang dan boleh diambil secara percuma termasuk beras, minyak masak, tepung, lampin dan susu bayi.

Barang-barang keperluan ini boleh diambil begitu sahaja tanpa mengira latar belakang selain tidak perlu bertanya kepada pengurus mahupun pemilik kedai.

Selain itu, inisiatif seperti ini turut disertai kerajaan apabila seramai 64 Ahli Dewan Negara akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bukan politik bagi menguruskan Program Bakul Makanan.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Datuk Razali Idris, berkata langkah kerajaan memberikan peruntukan tanpa mengira latar belakang parti menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkomited bagi memastikan Program Bakul Makanan dapat dilaksanakan secara efektif dan efisien.

“Kebersamaan kerajaan adalah sangat terpuji dalam perkara ini, malah Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan PN yang memberi peruntukan RM300,000 kepada Ahli Dewan Negara bagi melaksanakan Program Bakul Makanan kepada rakyat.

“Menerusi surat bertarikh 2 Julai (semalam) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), seramai 64 Ahli Dewan Negara dimaklumkan menerima kemudahan peruntukan yang disediakan, tidak kira penyokong kerajaan, parti pembangkang atau pertubuhan tertentu yang diwakili,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Razali, pihaknya turut mencadangkan agar konsep Food Bank diperluaskan lagi termasuk mendapatkan sumbangan besar dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat multinasional, anak syarikat dan agensi di bawah kementerian dan kerajaan negeri serta peneraju industri sektor swasta.

Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peruntukan berjumlah RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen dalam pelaksanaan Program Bakul Makanan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Bantuan Program Bakul Makanan serta Foodbank ini adalah bukti bahawa peperangan menentang wabak COVID-19 ini memerlukan usaha bersama kerajaan dan masyarakat.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *