PRN Melaka: Norhizam tidak akan dijadikan calon PH

 PRN Melaka: Norhizam tidak akan dijadikan calon PH

MELAKA, 21 Okt — Isu empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

“Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu. Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen Pakatan Harapan, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini.

“Bagaimanapun, Majlis Presiden turut memutuskan bahawa Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan dijadikan calon PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” menurut kenyataan gabungan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden turut bersetuju melantik Pengerusi PH Melaka Adly Zahari mengetuai jentera pilihan raya PH bagi menghadapi PRN Melaka.

Kenyataan itu juga menyebut mesyuarat memutuskan untuk menghantar wakil bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka.

“Ini bagi menyampaikan pandangan PH serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak terutama pada ketika Melaka berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN),” menurut kenyataan itu.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Mereka ialah Norhizam (Bebas-Pengkalan Batu), Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *