PRN Melaka: Darah politik mengalir semarak semangat Azrudin terus khidmat bakti

 PRN Melaka: Darah politik mengalir semarak semangat Azrudin terus khidmat bakti

MELAKA, 11 Nov — Biarpun berdepan cabaran getir saingan lima penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, calon Perikatan Nasional Mohd Azrudin Md Idris tidak gentar kerana mempunyai darah politik dalam dirinya. 

Menurut Azrudin, bertanding buat kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) merupakan cabaran baharu dalam hidupnya.

“Dalam bidang politik ini, dah jadi macam turun-temurun mungkin kerana darah politik itu ada tetapi sebenarnya penglibatan saya lebih untuk membantu rakyat. 

“Saya rasa seronok bila dapat membantu menyelesaikan masalah mereka terutama golongan susah. 

“Melihat senyuman mereka, saya rasa gembira dan seronok.

Katanya lagi, beliau berpegang kepada prinsip integriti untuk menyelesaikan masalah penduduk di DUN Pengkalan Batu terutama isu banjir kilat yang kerap berlaku.

“Beberapa kawasan seperti Kampung Pulau Kelapa, Kampung Sarang Helang, Batu Hampar dan Kampung Pasir Puteh banjir biasanya berlaku secara berulang lebih tiga kali setahun yang menyebabkan kerugian harta benda kepada penduduk.

“Saya juga menerima aduan daripada golongan muda terutama pelajar berkaitan akses Internet yang agak perlahan walhal DUN Pengkalan Batu terletak di kawasan bandar dan kita kini dah ke arah penggunaan optik gentian,” katanya.

Ahli perniagaan itu berdepan saingan getir lima penjuru menentang bekas ADUN Pengkalan Batu yang memenangi kerusi DUN tersebut pada Pilihanraya Umum ke-14 Datuk Norhizam Hassan Baktee mewakili Bebas selain Datuk Kalsom Noordin (BN), Muhamad Danish Zainudin  (PH) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Perkasa).

PRN Melaka diadakan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap pentadbiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. 

Selain dua bekas ADUN UMNO, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, dua lagi ADUN berkenaan adalah Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) dan Datuk Noor Effendi (Bersatu).

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  1  =