PRN Melaka: Calon bebas sekadar “nasi tambah” – Penganalisa politik

 PRN Melaka: Calon bebas sekadar “nasi tambah” – Penganalisa politik

KUALA LUMPUR, 20 Nov — Realitinya calon bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dilihat sebagai “nasi tambah” agar pertandingan kelihatan lebih menarik dan melambangkan demokrasi yang ada di negara kita.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran Politik, Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata, tidak ramai calon bebas yang bertanding dan menang.

Tambahan pula dalam sejarah politik Malaysia, calon yang bertanding dalam gabungan politik dilihat memiliki momentum yang boleh memenangi pilihanraya berbanding calon bebas.

“Parti adalah asas kepada mana-mana calon yang mahu menang dalam pilihanraya. Sebenarnya calon bebas ini boleh bertanding di pilihan raya tapi sejauh mana cabaran dan kesan yang mereka boleh berikan kepada calon parti gabungan.

“Realitinya calon bebas di negeri Melaka sebagai nasi tambah agar ada pertandingan yang lebih menarik dan melambangkan demokrasi yang ada di negara kita.

Menurut beliau lagi, terdapat calon proksi dari beberapa parti politik yang turut bertanding malah calon kecewa juga mencuba nasib dalam pilihanraya kali ini.

“Terdapat calon yang kecewa tidak dapat bertanding sebagai calon daripada parti gabungan misalnya calon bebas DUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang daripada awal sudah yakin akan dicalonkan atas tiket parti. Namun apabila membawa beban kepada mana-mana parti politik sudah pasti tidak akan tercalon.

Malah Dr Tawfik turut berkata, pada ketika ini penduduk negeri Melaka mengalami trauma politik, manifesto apa yang diberikan tidak akan mempengaruhi pengundi kecuali pengundi yang benar-benar terkesan dengan isu-isu pantai, pendapatan mereka atau isu melibatkan adat Naning di kawasan Alor Gajah dan Masjid Tanah.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  6