PRN MELAKA: Anjurkan debat terbuka antara semua calon ketua menteri – Anwar

 PRN MELAKA: Anjurkan debat terbuka antara semua calon ketua menteri – Anwar

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar satu debat terbuka dianjurkan antara calon-calon Ketua Menteri dari PH, BN dan PN yang bertanding di Melaka.

Dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau, Anwar berkata beliau yakin cadangan ini adalah wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang.

Anwar mencadangkan satu debat terbuka dianjurkan antara calon ketua menteri daripada PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disiarkan melalui media rasmi kerajaan itu.

Ketua Pembangkang itu berkata beliau menyambut baik kesediaan kerajaan menimbang memberi ruang kepada calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk daripada pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.

Sehingga kini, Barisan Nasional (BN) telah menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri manakala Adly Zahari mewakili Pakatan Harapan (PH).

Calon Ketua Menteri dari Perikatan Nasional masih menjadi tanda tanya namun Wacana.my dimaklumkan PN akan membuat pengumuman mengenainya tidak lama lagi.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata kerajaan bersedia menimbang memberi ruang itu kerana memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baharu untuk berkempen dalam suasana norma baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka ketika itu.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  36  =  38