PRN Johor waktu terdekat?

 PRN Johor waktu terdekat?

Hasni Mohammad (tengah) meletakkan tapak tangan pada skrin kaca sebagai simbolik merasmikan Majlis Anugerah Keusahawanan Johor 2020 di Pusat Konvosyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, semalam.

Oleh NURMAN NASYRIQ

JOHOR BAHRU, 10 Januari – Khabar angin yang bertiup kencang akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat terus menjadi tanda tanya apabila Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad tidak menafikan perkara itu.

Beliau hanya menafikan bahawa tidak pernah membuat sebarang pengumuman bahawa kemungkinan itu akan berlaku, sebaliknya perlu memantau dan melihat keadaan semasa.

Hasni Mohammad (tengah) meletakkan tapak tangan pada skrin kaca sebagai simbolik merasmikan Majlis Anugerah Keusahawanan Johor 2020 di Pusat Konvosyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri ‘tidak suka’ dengan hanya majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki oleh kerajaan pada masa ini.

“Saya masih lagi berpendapat bahawa saya perlu melihat kepada keadaan apabila kerajaan negeri hanya mempunyai satu majoriti. Johor tidak suka dengan istilah satu itu (majoriti kerusi DUN). 

“Seingat saya, saya tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan (PRN) selain daripada untuk lihat dan tinjau kemungkinan setelah Johor hanya mempunyai satu majoriti sahaja,” katanya ketika menjawab mengenai desas-desus pembubaran DUN Johor yang menjadi bualan hangat pada masa ini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Anugerah Keusahawanan Johor 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Desas-desus pembubaran DUN Johor yang membuka laluan kepada PRN dijangka diadakan dalam masa terdekat semakin hangat menjadi bualan sejak kebelakangan ini.

Khabar angin yang bertiup kencang itu turut mendapat perhatian Pakatan Harapan (PH) Johor yang mengakui ada perbincangan mengenai kebarangkalian itu dalam mesyuarat mereka, baru-baru ini.

Majoriti kerusi DUN sangat tipis dengan kerajaan negeri yang diterajui UMNO  memiliki 28 kerusi, manakala PH pula 27 kerusi selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian, baru-baru ini.

Ditanya mengenai hasil reaksi daripada rakan gabungan, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Pas, Hasni memberitahu, sokongan yang diberikan masih belum kekal.

“Tidak ada isu yang berbangkit dalam gabungan yang membentuk kerajaan hari ini yang boleh membawa kepada pembubaran DUN Johor,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *