PRN Johor tak ganggu pentadbiran, perancangan kerajaan negeri – Hasni

 PRN Johor tak ganggu pentadbiran, perancangan kerajaan negeri – Hasni

ISKANDAR PUTERI, 20 Januari – Walaupun banyak suara yang meminta supaya  Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak diadakan dalam waktu terdekat, namun Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad ‘cuba meredakan’ kebimbangan itu dengan memberi jaminan  seandainya diadakan, keputusan itu tidak tidak akan mengganggu urusan pentadbiran dan pelbagai program yang dirancang kerajaan negeri.

Menurutnya, pelbagai inisiatif yang digariskan kerajaan negeri termasuk dalam Belanjawan Johor 2022 tetap dilaksanakan seperti yang telah dirancang.

“Sekiranya PRN Johor diadakan, saya beri jaminan urusan pentadbiran kerajaan negeri tidak akan terganggu, manakala pelbagai program yang telah dirancang juga akan berlangsung seperti biasa.

“Ia (PRN) tidak akan ganggu pelbagai perancangan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2022,” katanya pada Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ), di sini hari ini.

Hasni diberi taklimat tentang pemasangan dan operasi dron di Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Bandar Medini, Iskandar Puteri, hari ini.

Kenyataan terbaharu Hasni itu mengukuhkan lagi khabar angin yang mengatakan Johor bakal mengadakan PRN dalam waktu terdekat selepas kedudukan kerajaan negeri dilihat goyah kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu 28 berbanding 27 kerusi dimiliki pakatan pembangkang.

Situasi itu berlaku susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga merupakan bekas Menteri Besar Johor pada 21 Disember lalu.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad dan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  16  =  18