PRN Johor: MIC hasrat tanding 4 kerusi

 PRN Johor: MIC hasrat tanding 4 kerusi

PASIR GUDANG – MIC Johor berhasrat bertanding empat kerusi sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat, iaitu di kawasan yang ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Ketua Penerangan MIC Johor, S. Deva berkata, empat kerusi tersebut ialah DUN Tenggaroh dan Kahang yang dimenangi parti itu, selain DUN Gambir dan Skudai.

“Harapan dan perbincangan mengenai empat kerusi ini sudah MIC Johor suarakan kepada pucuk pimpinan parti dalam satu mesyuarat MIC di Kuala Lumpur pada malam tadi untuk dipertimbangkan.

“Selain empat kerusi tersebut, kita juga harap kerusi DUN Permas yang merupakan kerusi tradisi MIC sebelum ini dapat dikembalikan semula kepada kami untuk PRN kali ini.

“Ini kerana MIC tidak pernah kalah di DUN Permas dalam PRU sebelum ini. Semua ini kita ajukan kepada pucuk pimpinan dan mereka akan bincang dengan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) nanti,” katanya selepas Program Drive Thru Agihan Barang Segar di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana, Taman Cendana di sini hari ini.

Deva menyampaikan barang keperluan harian kepada penerima dalam program Drive Thru Agihan Barang Segar di pekarangan SK Taman Cendana, Taman Cendana, Pasir Gudang, hari ini.

Pada PRU14, MIC menang di kerusi DUN Tenggaroh dan Kahang, masing-masing dengan majoriti 5,765 dan 2,861 undi, namun tewas di DUN Gambir dan DUN Skudai,  masing-masing dengan majoriti 3,088 dan 35,126 undi.

Mengulas lanjut, Deva yang juga Penyelaras MIC DUN Permas berkata, sebelum ini kerusi DUN Permas sememangnya milik mereka tetapi pada PRU14 diberikan kepada calon UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Besar Johor untuk bertanding mewakili BN.

Deva mendakwa, kerusi DUN Permas adalah kubu kuat BN sebelum ini dan permintaan untuk mengembalikan kerusi itu kepada MIC adalah wajar.

Beliau juga berharap kerusi yang ditandingi Gerakan pada PRU14, iaitu DUN Bukit Batu dan DUN Pemanis akan diberikan kepada MIC atau MCA kerana Gerakan bukan lagi komponen BN.

Mengenai persiapan MIC dalam menghadapi PRN, beliau berkata, parti tersebut sudah melakukan kerja menyantuni rakyat sejak dahulu bagi memastikan golongan memerlukan terus terbela.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

24  −    =  14