PRN Johor: Anak sulung Osman mahu bertanding di DUN Kempas

 PRN Johor: Anak sulung Osman mahu bertanding di DUN Kempas

JOHOR BAHRU, 27 Januari – Anak sulung bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian, iaitu Nornekman, 47, berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Timbalan Ketua Pejuang Johor itu sudah bersedia dan memilih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas kerana merasa dekat dengan masyarakat di kawasan tersebut apatah lagi bapanya sudah tiga penggal berkhidmat di situ.

“Saya memang bersedia untuk bertanding dan jika boleh, mahu menjadi calon DUN Kempas kerana penduduk di situ amat dekat di hati kami sekeluarga, termasuk saya sendiri sepanjang tiga penggal arwah menjadi wakil rakyat di situ.

“Bagaimanapun saya tetap akan akur dengan sebarang keputusan kepimpinan parti melibatkan soal pencalonan dalam PRN Johor,” katanya ditemui di pejabat Pejuang Johor, di sini hari ini.

Osman merupakan bekas ADUN Kempas yang juga merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam, meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu.

Pada Sabtu lalu, Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Saharuddin Mohd. Salleh dilaporkan berkata, parti itu akan bertanding secara sendirian dengan meletakkan 42 calon pada PRN Johor.

Mengulas lanjut, Nornekman berkata, parti itu mahu menghadiahkan kemenangan PRN Johor kepada Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad selain berharap kesihatan pengasas parti tersebut beransur baik, sekali gus membolehkan beliau turun membantu jentera di PRN Johor.

Namun apa yang lebih utama katanya, negarawan tersebut menjaga kesihatan diri ketika ini. 

“Jika beliau tidak dapat turun secara fizikal sekalipun, beliau masih boleh membantu kempen melalui pelbagai platform lain, termasuklah menggunakan media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pejuang Johor akan memastikan calon yang dipilih untuk bertanding dalam PRN itu tidak melakukan kecuaian yang boleh menjejaskan kempen parti, khususnya ketika hari proses penamaan calon.

Katanya, sebagai langkah persediaan Biro Peguam parti akan memberi latihan kepada semua pihak terlibat. 

“Ini kerana setiap kali pilihan raya, kita akan dengar berita kecuaian seperti calon salah isi borang, tertinggal kad pengenalan dan sebagainya. Jadi, Pejuang akan pastikan perkara seperti ini tidak berlaku,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

36  −    =  32