PRN Johor: Amanah, PKR tanding 40 kerusi, DAP 16

 PRN Johor: Amanah, PKR tanding 40 kerusi, DAP 16

PASIR GUDANG, 27 Januari – Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

DAP pula bertanding di 16 kerusi dan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kelmarin.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, ketiga-tiga parti tersebut akan bertanding di kawasan campuran termasuk kerusi yang mempunyai majoriti satu kaum, contohnya kawasan yang mempunyai ramai Melayu.

“Namun, terdapat parti pembangkang lain yang bukan komponen PH mahu berbincang untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

“Jika dilihat mampu membawa faktor kemenangan, perkara tersebut akan dipertimbangkan termasuk membabitkan pengagihan kerusi,” katanya selepas menyertai Program Sarapan Bersama YB Mohamad Sabu, pemimpin dan masyarakat sebelum mengagihkan sumbangan limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina di Bandar Permas Jaya, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi Amanah Johor dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, hasil perbincangan akan diputuskan dalam tempoh sehari dua ini dan PH terbuka dalam hal tersebut.

“Antara parti yang dimaksudkan termasuklah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Senarai calon bagaimanapun masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan buat waktu ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Majlis Presiden PH masih belum menerima permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dalam PRN Johor.
Dalam perkembangan lain, beliau mengakui tiada masalah bagi PKR menggunakan logo partinya sendiri, manakala Amanah dan DAP menggunakan logo PH, sekali gus menafikan keputusan itu akan menjejaskan kemenangan.

Menurutnya, semua pihak dalam PH menghormati keputusan tersebut dan penggunaan dua logo berasingan bukan sesuatu yang baharu kerana pembangkang sudah berbuat demikian sebelum ini.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

94  −  89  =