PRN Johor: Agihan kerusi PN selesai hujung minggu ini

 PRN Johor: Agihan kerusi PN selesai hujung minggu ini

Oleh NURMAN NASYRIQ

MUAR, 28 Januari 2022 – Pengagihan kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka selesai hujung minggu ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN kini dalam peringkat akhir untuk menentukan kerusi yang akan ditandinginya.

Muhyiddin (duduk tengah) dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PN Johor di Pagoh, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, proses itu mengambil masa sedikit kerana ada beberapa kerusi yang mempunyai pertindihan antara parti komponen dalam PN.

“Kita hampir selesai tadi, tapi ada sedikit pertindihan kepentingan (kerusi) antara parti-parti dan kita dah beritahu pasukan perundingan akan selesaikannya.

“Rundingan kerusi belum muktamad hingga disahkan oleh pemimpin PN masing-masing di peringkat Pusat. 

“Saya rasa dalam jangka minggu ini, perkara ini akan selesai,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat PN Johor di Pejabat BERSATU Bahagian Pagoh, di sini semalam.

Mengenai kerjasama PN dan Pakatan Harapan (PH) pula, Muhyiddin berkata, dalam politik apa pun boleh berlaku.

“Setakat hari ini tidak ada apa lagi…tapi kalau ada, ia datang daripada pimpinan parti dan bukan saya sahaja yang boleh buat keputusan,” katanya.

Kelmarin BERSATU Johor Bahru mencadangkan penubuhan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) melibatkan PN dan semua parti pembangkang yang akan bertanding dalam PRN Johor.

Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan MRJ terdiri daripada PN, PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan). 

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  66  =  71