PRISMA dijangka bantu lebih 3,000 pengamal industri kreatif

 PRISMA dijangka bantu lebih 3,000 pengamal industri kreatif

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) dijangka membantu kelangsungan lebih 3,000 pengamal industri kreatif melalui pelbagai inisiatif yang disediakan oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative).

Menurut MyCreative dalam kenyataan hari ini, program PRISMA itu juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan dalam aktiviti berkaitan ruangan persembahan, organisasi seni, syarikat produksi, kumpulan muzik dan kumpulan teater melalui pelbagai program bantuan dalam bentuk geran, pinjaman, penubuhan platform digital dan inisiatif peningkatan kemahiran.

Bantuan di bawah PRISMA termasuk Geran Peralatan Streaming Muzik yang membantu 100 penggiat seni muzik menerapkan norma dan pendekatan baharu melalui unsur digital dengan menyediakan akses kepada alat muzik dan alat penyiaran atas talian.

“Jumlah bantuan adalah sehingga RM10,000 setiap orang dan permohonan dibuka sehingga 2 April ini,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, lebih 1,500 penggiat kreatif bakal dibantu menerusi inisiatif program RIUH yang merangkumi RIUH Talks, RIUH at Home dan RIUH Directory melalui penjanaan peluang perkerjaan, pembangunan platform, memperluaskan jaringan dan perkongsian ilmu.

Inisiatif lain PRISMA turut merangkumi Pemulihan CENDANA iaitu pelaksanaan 13 program bantuan khas bagi sektor seni visual, seni persembahan, muzik bebas dan kraf dalam bentuk peningkatan kemahiran, usaha pembangunan, dana serta mewujudkan platform relevan untuk memaparkan karya penggiat seni.

MyCreative dalam kenyataan itu turut memetik Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah sebagai berkata dana PRISMA yang disalurkan melalui MyCreative, CENDANA dan RIUH akan menyokong pengamal industri kreatif dengan bantuan kewangan, peningkatan kapasiti dan kemahiran untuk mengatasi cabaran masa kini dan keberlangsungan hidup mereka.

“Sebanyak 32 program telah dirancang untuk menyokong penggiat industri kreatif Malaysia seperti filem, muzik, kandungan kreatif digital, seni visual, persembahan dan kraf,” katanya menerusi kenyataan itu.

Dilancarkan pada 5 Feb lepas, program PRISMA merupakan inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang merangkumi beberapa inisiatif pemulihan yang diperkenalkan khusus untuk industri kreatif serta industri seni dan budaya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Riza Saian dalam kenyataan sama berkata fokus MyCreative adalah untuk merancakkan kembali industri kreatif negara dan membantu penggiat industri dengan pelan bantuan strategik.

MyCreative merupakan antara cabang pelaburan kerajaan yang bermatlamat meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi menerusi kewangan strategik dan inovatif sama ada dalam bentuk ekuiti ataupun pinjaman.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

77  +    =  87