Presiden Palestin adakan perbincangan dengan Setiausaha Agung PBB

 Presiden Palestin adakan perbincangan dengan Setiausaha Agung PBB

Presiden Palestin Mahmoud Abbas

RAMALLAH, 20 Mei — Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Rabu mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres dan menggesa serangan udara Israel di Semenanjung Gaza dihentikan.

Abbas dan Guterres turut berbincang mengenai usaha antarabangsa untuk mencapai persetujuan gencatan senjata, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut Abbas “serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza menyebabkan malapetaka dan kehancuran dan Israel harus bertanggungjawab atas kejahatan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.”

“Adalah perlu untuk melawan serangan pendatang Israel yang disokong tentera di Baitulmaqdis, terutama usaha bagi merebut kembali kediaman rakyat Palestin di kawasan Sheikh Jarrah,” kata Abbas.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan bagi mengadakan sesi Perhimpunan Agung PBB di New York pada Khamis dan sedang berusaha untuk mengeluarkan pernyataan bagi mendesak Israel menghentikan serangan ke atas Gaza.

Guterres turut menegaskan PBB akan melakukan segala usaha untuk mencapai persetujuan gencatan senjata, proses damai dan menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada rakyat Palestin.

Pada Rabu, Kementerian Kesihatan di Gaza menyatakan 227 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh sepuluh hari lalu, termasuk 64 kanak-kanak, 38 wanita dan 17 warga emas, manakala 1,620 yang lain cedera.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *