• Friday, 18 June 2021, 1:38 am

Prasarana wajib kembalikan keyakinan rakyat

 Prasarana wajib kembalikan keyakinan rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Jun — Susulan tragedi dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bulan lalu, keyakinan rakyat terhadap pengendalinya, milik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) merundum.

Sikap bekas Pengerusi Prasana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam mengendalikan kejadian tersebut juga dilihat ibarat menabur garam pada luka mangsa dan pengguna yang terlibat.

Justeru itu Wacana.my menemubual tokoh usahawan Malaysia, Datuk Hussamudin Yaacub untuk meminta pandangan beliau tentang langkah terbaik bagi Prasarana memulihkan reputasi yang tercalar dan mengembalikan keyakinan pengguna terhadap syarikat tersebut.

“Pertamanya Prasarana harus segera melantik Pengerusi baru yang berkaliber dan berwibawa untuk menerajui syarikat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Hussamudin, seorang pengerusi harus ada beberapa ciri utama sebelum dilantik ke jawatan yang penting itu.

“Individu itu harus ada pengetahuan yang tinggi dan mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi,” katanya.

Selain itu, menyentuh isu Prasarana, seharusnya pengerusi yang bakal dilantik harus mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang industri pengangkutan awam agar masalah yang sama tidak berulang.

“Individu yang dilantik wajib mengetahui selok belok industri yang diterajuinya dan ini bukan sahaja kepada Prasarana, mana-mana syarikat pun, jika mahu melantik pengerusi calonnya hendaklah orang yang berpengetahuan luas di dalam industri berkenaan,” katanya.

Hussamudin turut berpendapat bakal pengerusi syarikat strategik seperti Prasarana juga harus seorang yang berkredibiliti dan dipercayai, kerana jawatan itu turut menggalas tanggungjawab menjaga reputasi pelbagai pemegang kepentingan lain yang berkenaan, seperti kerajaan dan juga negara.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *