• Wednesday, 16 June 2021, 7:21 am

Prasarana senaraikan barangan penumpang terlibat insiden tren bertembung

 Prasarana senaraikan barangan penumpang terlibat insiden tren bertembung

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang membuat penyenaraian barang-barang yang telah ditinggalkan oleh para penumpang dalam kejadian malam semalam.

Penyedia perkhidmatan Tren Transit Aliran Ringan (LRT)  itu berkata dalam sebuah kenyataan hari ini penumpang yang terlibat diminta menghubungi syarikat berkenaan untuk urusan tersebut melalui Talian Krisis di 014 737 1330 atau hantarkan email ke recovery2021@prasarana.com.my,

Selain itu Prasarana turut mengumumkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya masih beroperasi seperti biasa bermula jam 6.00 pagi ini.

Laluan itu diteruskan dengan menggunakan satu landasan (single track) serta disokong oleh perkhidmatan bas perantara percuma.

” Dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak, para penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama sedikit daripada biasa,” katanya.

Sebanyak lima buah bas perantara dua tingkat percuma dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit pada waktu puncak turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.

Semalam, dua buah tren LRT bertembung di terowong berhampiran stesen KLCC melibatkan seramai 213 mangsa — 166 cedera ringan dan 47 cedera parah.

Mangsa telah berjaya dikeluarkan pada pukul 9.45 malam tadi dan dihantar untuk dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan juga hospital-hospital yang berhampiran.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyatakan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian perlanggaran.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *