PPV UIAM Kuantan selesai beri 47,783 dos vaksin

 PPV UIAM Kuantan selesai beri 47,783 dos vaksin

Petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SASMEC @IIUM Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan mengemas kelengkapan apabila PPV berkenaan ditutup sepenuhnya hari ini.

KUANTAN, 6 Okt — Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah@IIUM (SASMEC @IIUM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selesai memberi 47,783 vaksinasi COVID-19 kepada penduduk daerah ini sejak beroperasi 19 Julai lalu.

Purata setiap hari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di institusi pengajian tinggi (IPT) yang beroperasi di Dewan Utama UIAM kampus Kuantan, di sini memberi suntikan kepada 1,000 individu pelbagai lapisan masyarakat.

Pengurus PPV IPT @ SASMEC IIUM Kuantan, Dr Abdul Rahim Mohamed Sirajudeen berkata, beliau bersyukur tanggungjawab yang diberikan kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, sejak beroperasi tidak banyak masalah dihadapi pihak urusetia termasuk individu yang datang bagi mendapatkan vaksinasi dos pertama dan kedua.

Menurutnya, kerjasama baik kedua belah pihak menjamin kelancaran proses pemberian vaksin COVID-19 yang dilakukan lima hari seminggu bermula 9 pagi hingga 5 petang.

“Kita mempunyai seramai 184 petugas kesihatan dan bukan kesihatan, turut terbabit seramai 136 sukarelawan terdiri daripada penuntut UIAM kampus Kuantan.

“Untuk membantu melancarkan lagi proses pemberian vaksinasi kita menyediakan sebanyak 40 kerusi roda untuk digunakan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah untuk berjalan.

“Turut disediakan dua unit kereta bugi (buggy) bagi mengambil dan menghantar warga emas dan OKU ke kawasan meletak kenderaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kini operasi PPV IPT @ SASMEC IIUM Kuantan selesai sepenuhnya hari ini selepas beroperasi lebih tiga bulan, pelbagai cabaran serta dugaan.

Dr Abdul Rahim berkata, tanggungjawab yang diberikan berjaya ditunaikan dengan sebaik mungkin dalam usaha membantu kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

“Kepakaran yang dimiliki dapat membantu semua pihak secara bersama dalam mencegah penularan wabak COVID-19, kita sedia memikul tugas sama pada masa depan sekiranya diperlukan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *