PPV PIKAS kedua dibuka di Johor 28 Jun ini

 PPV PIKAS kedua dibuka di Johor 28 Jun ini

Mohamed Azmin (kanan) beramah mesra dengan penerima vaksin Covid-19 di PPV industri di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Kota Tinggi, semalam.

JOHOR BAHRU, 19 Jun — Sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19 akan dibuka di negeri ini pada 28 Jun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pusat kedua itu akan dibuka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Taman Mount Austin di sini.

“Hasil tinjauan yang dilakukan hari ini, saya dapati PPV PIKAS di AICC ini memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan dan sudah sedia untuk beroperasi.

“Ia boleh menampung kapasiti antara 4,000 hingga 4,500 penerima vaksin sehari dan mempunyai 60 bilik suntikan vaksin selain beberapa bilik pesakit.

“Tapi untuk permulaan PPV ini akan menyuntik 1,500 penerima vaksin sehari sebelum ditingkatkan kepada 4,500 penerima,” katanya selepas meninjau persiapan PPV PIKAS di Austin International Convention Centre di sini semalam.

Azmin berkata, kerajaan memfokuskan pembukaan PPV PIKAS di empat negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak sebelum dibuka di negeri lain.

Ini kerana empat negeri berkenaan mempunyai sektor pembuatan dan perkilangan yang besar dan usaha digerakkan dalam mengawal penularan COVID-19.

“Inisiatif PIKAS ini adalah satu usaha kita untuk memberikan perlindungan dan jaminan kesihatan kepada pekerja sektor pembuatan dan perkilangan negara yang menjadi nadi penting sektor ekonomi,” katanya.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *