PPD sebagai ‘one stop centre’ untuk selesai masalah PdPR, DidikTV – PIBGN

 PPD sebagai ‘one stop centre’ untuk selesai masalah PdPR, DidikTV – PIBGN

Gambar sekadar hiasan

KUALA LUMPUR, 22 April — Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) menjadikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai ‘one stop centre’ atau pusat sehenti dalam menyelesaikan dan menangani masalah berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) serta DidikTV KPM.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata ini berikutan PPD adalah medium terbaik untuk berhubung dengan ibu bapa yang menghadapi kerumitan dan membawa masalah setempat kepada pihak atasan dengan segera.

“Saya cadangkan KPM boleh mewujudkan talian hotline dan diuruskan oleh kakitangan berdedikasi yang ditugaskan khusus untuk menangani dan mengatasi apa sahaja perkara ini (PdPR dan DidikTV) di peringkat daerah berbanding dipusatkan di negeri atau peringkat kebangsaan.

“Ini cara penyelesaian yang baik untuk membantu ibu bapa di pedalaman. Misalnya, wakil rakyat mudah dihubungi di peringkat daerah, jadi hanya PPD yang mempunyai akses mudah kepada ibu bapa, seterusnya membawa perkara tersebut ke peringkat pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai persediaan terhadap PdPR sekiranya sekolah ditutup semula berikutan jangkitan COVID-19 di institusi tersebut.

Sejak seminggu lepas, dilaporkan terdapat jangkitan COVID-19 di sekolah yang menyebabkan beberapa kluster dikesan di sekolah dan institusi pendidikan di beberapa negeri.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Selangor pada Isnin lepas telah mengeluarkan arahan supaya 19 sekolah di negeri itu ditutup selepas kes jangkitan COVID-19 dikesan di sekolah terbabit.

Sehubungan itu, Mohamad Ali berpendapat KPM perlu mempertimbangkan supaya semua sekolah di seluruh negara ditutup sementara selama dua minggu memandangkan terdapat banyak petunjuk negatif yang mengancam kesihatan dan keselamatan warga sekolah.

“Tetapi ibu bapa janganlah rasa gentar dan curiga kerana saya percaya ini yang sebaiknya, kita memikirkan dari segi keselamatan serta nyawa anak kita dan pada masa yang sama kita tidak mengetepikan pendidikan. Jadi buat masa ini, inilah cara yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berpendapat adalah tidak adil jika sekolah ditutup sepenuhnya kerana laporan menunjukkan jangkitan COVID-19 tidak datang daripada sekolah, tetapi jangkitan dalam komuniti menerusi ibu bapa atau penjaga pelajar.

Sebaliknya, beliau berkata sokongan daripada semua pihak, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah masing-masing, dapat meningkatkan lagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.

“PIBG dan orang awam yang tidak mempunyai latar belakang perubatan seharusnya menjadi pihak terakhir yang meminta penutupan sekolah disebabkan beberapa kes terpencil. Mereka tidak perlu menekan butang panik dan menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

“Sebaliknya, dalam situasi seperti ini, mereka perlu membantu pengurusan sekolah untuk meningkatkan pematuhan SOP di sekolah dan mendapatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah,” katanya dan menambah ahli PIBG boleh memantau pergerakan pelajar atau ibu bapa semasa datang dan balik sekolah, secara sukarela.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata sekiranya sekolah diarahkan tutup dan dibuka sekali lagi, KPM diharap dapat menyediakan SOP untuk membuka sekolah secara bergilir sahaja, seperti yang disarankan tahun lepas.

Katanya, penggiliran jadual jelas dapat mengawal bilangan pelajar dan kakitangan ke sekolah untuk tempoh tertentu apabila separuh pelajar ke sekolah dan separuh lagi PdPR mengikut tahap.

“Agak telah menjadi norma baharu PdPR ini, ibu bapa pun sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

“Memandangkan kes jangkitan COVID-19 kian menaik, kebarangkaliannya sekolah terpaksa ditutup semula adalah tinggi. PdPR adalah langkah terakhir kerana tiada pilihan lain. Hendak atau tidak, ibu bapa pun tiada pilihan,” katanya.

 

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

26  +    =  29