PPA hasilkan 1.6 juta benih 12 spesies ikan air tawar

 PPA hasilkan 1.6 juta benih 12 spesies ikan air tawar

Induk ikan tamalian di PPA Perlok.

Oleh Mohd Fikri Mie

JERANTUT, 28 April – Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok di sini, menghasilkan lebih 1.6 juta benih  bagi 12 spesies ikan air tawar, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, spesies terbanyak dihasilkan ialah lampam sungai sebanyak 643,380 ekor diikuti patin hitam (134,330), kerai lampam (231,330), keli (226,000), kerai kunyit (105,030), terbol (65,500) dan puyu (55,700).

Beliau berkata, sebanyak 10,050 benih spesies kelah dan temalian juga berjaya dihasilkan tahun lalu, bertambah hampir sekali ganda berbanding 5,680 ekor pada 2019.

Ketua PPA Perlok, Mohd Nasir Muhamad (kiri) meninjau induk ikan patin buah yang terdapat di PPA Perlok.

Menurutnya, PPA Perlok kini giat berusaha menghasilkan benih ikan patin buah (Pangasius nasutus) dalam usaha menambah taburan spesies berkenaan yang sebelum ini terkenal di Sungai Pahang dan Sungai Jelai serta beberapa sungai utama lain di negeri ini.

“Kekurangan induk berkualiti selain faktor semula jadi menjadi antara sebab benih ikan patin buah yang terkenal di negeri ini tidak banyak dapat dihasilkan setiap tahun berbanding spesies lain.

“Kita sentiasa berusaha menambah jumlah induk ikan patin buah dengan cara membeli daripada nelayan sungai namun kini usaha pihak terbabit menangkapnya semakin sukar,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

Abdullah berkata, dalam tempoh lima tahun, PPA Perlok berjaya menghasilkan kira-kira 29,000 benih ikan patin buah.

Katanya, permintaan ikan patin buah keluaran negeri ini sentiasa tinggi walaupun harganya agak mahal iaitu antara RM100 hingga RM150 sekilogram.

Justeru, jabatan mempelawa nelayan sungai supaya menjual induk ikan patin buah hidup yang berjaya ditangkap dengan harga mengikut harga pasaran semasa.

Sebahagian daripada benih ikan patin buah yang terdapat di PPA Perlok.

“PPA Perlok sentiasa memerlukan induk ikan patin buah betina dan jantan yang matang. Justeru kerjasama nelayan darat amat diperlukan.

“Kita bimbang ikan patin buah akan pupus satu hari nanti sekiranya usaha menambah jumlah spesies berkenaan tidak dilakukan secara serius dan berterusan,” katanya.

Beliau menambah, jabatan berharap masyarakat dapat bekerjasama dalam memastikan tidak terbabit dengan aktiviti yang dilarang seperti meracun dan mengguna bahan letupan serta arus elektrik untuk menangkap ikan.

Katanya, kesedaran menjaga dan mengekalkan hidupan sungai terutama ikan perlu ada pada setiap individu.

 

Sementara itu Ketua PPA Perlok, Mohd Nasir Muhamad berkata, pihaknya kini berusaha menambah jumlah pengeluaran benih 12 spesies ikan air tawar bagi memenuhi permintaan.

“Tumpuan utama pengeluaran benih ikan di sini ialah untuk aktiviti pelepasan ke perairan umum di negeri ini dan selebihnya untuk diagihkan kepada jabatan perikanan negeri dan pasaran tempatan.

“Kita sentiasa berusaha  menghasilkan benih ikan air tawar seberapa banyak mungkin bagi memenuhi permintaan semasa,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  26  =  30