Positif COVID-19? Berikut adalah panduan untuk anda

 Positif COVID-19? Berikut adalah panduan untuk anda

KUALA LUMPUR, 18 Jul — Anda baru sahaja mengetahui bahawa anda disahkan sebagai positif COVID-19. Perasaan takut dan menggelabah kini berlumba-lumba dalam pemikiran anda kerana risau dengan nyawa sendiri, mahupun yang tersayang.

Kami di Wacana.my ingin mengingatkan anda untuk kekal bertenang dan mulakan kuarantin di dalam rumah sehingga diberi arahan selanjutnya.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ketahui jika anda didapati positif COVID-19:

1) Maklumkan status

Jika anda diuji di fasiliti bukan bawah Kementerian Kesihatan (KKM), daftar diri anda di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) terdekat. Senarai lengkap CAC boleh didapati menerusi:

www.covid-19.moh.gov.my/hotline

Sekiranya anda diuji di fasiliti KKM, kementerian atau CAC akan menghubungi anda.

Fasiliti penjagaan kesihatan diminta untuk melaporkan kes positif melalui sistem maklumat makmal kesihatan awam (SIMKA). Aplikasi MySejahtera anda juga akan dikemas kini.

Maklumkan kepada individu yang anda jumpa baru-baru ini, termasuk kontak rapat, dan galakkan mereka menjalani ujian saringan dan kuarantinkan diri.

Walaupun anda mungkin berasa malu atau takut untuk memaklumkan status positif COVID-19 anda kepada individu-individu berkenaan, ianya penting untuk berbuat demikian demi kesihatan dan keselamatan mereka.

2) Kategori pesakit COVID-19 dan tempat rawatan

Menurut KKM, terdapat lima kategori pesakit COVID-19:

  • Kategori 1: Tiada gejala (seperti sakit tekak, batuk, sakit kepala atau demam)
  • Kategori 2: Mempunyai gejala, tanpa radang paru-paru
  • Kategori 3: Mempunyai gejala, dengan radang paru-paru
  • Kategori 4: Mempunyai gejala, dengan jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen
  • Kategori 5: Pesakit kritikal dengan pelbagai komplikasi organ

Pesakit dalam dua kategori pertama akan dibenarkan menjalani rawatan di rumah, namun ia bergantung kepada usia (warga emas), status kesihatan, dan sama ada penjarakan fizikal dapat diamalkan di rumah.

Jika anda perlu dihantar ke hospital atau pusat rawatan berisiko rendah, tunggu KKM hubungi anda sambil menjalani kuarantin di rumah.

3) Rawatan di rumah

Gunakan ciri alat penilaian kesihatan di dalam aplikasi MySejahtera anda dan pantau keadaan diri sendiri.

Ketika berada di rumah, patuhi garis panduan rawatan di rumah dengan ketat seperti yang ditetapkan KKM.

Elakkan bersentuhan dengan orang lain di rumah, tetapi jika anda harus bercakap dengan mereka, jaga jarak satu hingga dua meter dan pakai pelitup muka. Setiap orang juga harus kerap mencuci atau membersihkan tangan mereka.

Jika keadaan anda bertambah buruk dan anda mengalami kesukaran bernafas atau demam kuat, segera hubungi CAC atau 999.

Garis panduan rawatan di rumah boleh dilihat melalui:

http://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/pemantauan-kendiri-kes-positif-covid-19-di-rumah

Dr Musa Mohd Nordin

Sementara itu, pakar perunding pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, menyarankan beberapa tindakan sementara yang boleh dilakukan pesakit COVID-19 sementara mereka menunggu di rumah.

Berikut adalah garis panduan yang beliau cadangkan:

1. Jika anda positif tetapi asimptomatik, terus berada di rumah dan lakukan pengasingan kendiri sebaik saja keputusan ujian diterima

2. Semua isi rumah juga perlu melakukan pengasingan

3. Pejabat kesihatan daerah akan menghubungi anda pada waktu yang sepatutnya

4.  Anda hanya boleh meninggalkan rumah dalam keadaan tertentu

5. Jangan pergi ke tempat kerja, sekolah atau kawasan awam

6. Jangan gunakan pengangkutan awam atau teksi

7. Jika perlu keluar rumah, anda mesti memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal sebelum kembali serta-merta selepas selesai berurusan

8. Di Selangor Pasukan Khas Covid-19 Selangor (STC) akan memaklumkan keputusan anda melalui aplikasi SeLangkah dalam tempoh 24 jam selepas ujian dijalankan. Justeru anda tidak perlu keluar dari rumah untuk mendapatkan keputusan tersebut.

9.  Jauhkan diri sebaik mungkin daripada orang lain dalam rumah, terutama jika mereka adalah golongan berisiko tinggi

10. Di mana boleh, elakkan daripada menggunakan ruang bersama seperti dapur atau seumpamanya ketika ada orang lain dan bawa makanan anda ke bilik untuk dimakan.

11. Pakai pelindung muka atau pelitup muka pembedahan semasa meluangkan masa di kawasan bersama dalam rumah anda

12. Lakukan kegiatan beriadah di dalam atau kawasan halaman rumah saja

13. Patuhi nasihat umum bagi mengurangkan penularan jangkitan dalam kalangan penghuni rumah

14. Tempoh pengasingan anda termasuk hari anda melakukan ujian dan 10 hari berikutnya

15. Maksudnya jika ujian pertama dilakukan 15 hari bulan, tempoh pengasingan anda berakhir pada jam 11.59 malam 25 hari bulan.

16.  Tempoh pengasingan rasmi 10 hari bermula pada hari keputusan ujian menunjukkan anda positif

17. Kebanyakan pesakit Covid-1 mengalami rasa tidak sihat yang ringan. Dapatkan segera rawatan sekiranya keadaan anda atau penghuni rumah anda semakin buruk

18. Anda boleh kembali menjalani kehidupan biasa dan menamatkan pengasingan 10 hari penuh jika anda kekal dalam keadaan sihat, atau simptom anda cuma batuk ringan atau kehilangan deria baru yang mungkin memerlukan masa beberapa minggu untuk pulih.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *