Politik Negara Kini: Sedikit Pencerahan DiRaja

 Politik Negara Kini: Sedikit Pencerahan DiRaja

Ketika kita berjuang sepenuh tenaga untuk menghpuskan cabaran Pandemik Covid-19 kini,  suasana negara dan rakyat nampaknya di penuhi dengan pergelutan politik, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN)  Melaka yang telah pun memanaskan udara di sekeliling kita. Setelah Melaka maka akan tiba pula PRN Sarawak yang akan ditentukan waktunya tidak lama lagi, dan seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU)  Negara kemudiannya.

Beberapa peristiwa politik yang telah berlaku di negeri Melaka, sehingga menyebabkan PRN ini terpaksa di adakan tidak lama lagi, maka banyak juga perkembangan politik negeri yang berlaku dan agak luar biasa bagi negara kita.

Perpecahan ikatan politik kepartian yang biasanya tidak sehebat ini, mulai menunjukkan bahawa parti politik yang meletakkan calon sepenuhnya di dalam PRN tersebut telah memecah rekod agaknya, di tambah dengan calon bebas dan beberapa orang yang menyeberangi parti tertentu, akhirnya turut bertanding atas nama parti yang lain dari asalnya, atau sebagai calon bebas.

Amatlah diharapkan bahawa perkembangan politik partisan yang berlaku ini, tidak akan membawa kepada suasana politik partisan yang dipenuhi dengan suasana kecoh, fanatik dan pergerakan politik yang ganjil serta mengganggu pemikiran dan ketenteraman rakyat sendiri.

Dalam konteks ini, ingin saya mengingatakan kembali catatan ringkas, yang telah saya dokumenkan. iaitu tentang titah ucapan Baginda Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dalam istiadat sambutan hari keputeraan Baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 4 November 2018. Saya merujuk semula kepada titah ucapan Baginda ini kerana  saya menganggap bahawa pembicaraan terssebut sebagai satu pencerahan yang berhikmah dan  wajar tentang politik dalam bentuk yang seimbang dan universal, untuk menjadi pelajaran dalam keadaan politik yang agak keruh ketika ini.

Baginda menzahirkan titah ucapan, yang diantara lainnya, berbunyi  “Tahun 2018, mencatat sejarah baharu kepada negara yang mencecah 61 tahun usia kemerdekaan. Negara dihampar dengan senario politik baharu, pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, majoriti pengundi membuat pilihan menukar kerajaan, di peringkat Persekutuan, demikian juga di kebanyakan negeri”

Pokok persoalan yang di zahirkan oleh Baginda ketika berbicara tentang politik negara ini, bukanlah berdasarkan politik partisan melulu, atau sikap taksub melampau terhadap politik dan kaum serta agama yang tertentu, tetapi Baginda telah  bersikap adil dan saksama, logik dan rasional akal fikiran, dan kerana hal inilah Baginda menambah salah satu alasannya sebagai berikut, iaitu. “kerana sifat dan jiwa besar pimpinan politik, terutama mereka yang berada di pihak yang tewas, memilih tidak mencetuskan huru-hara, dan tidak melakukan tindakan-tindakan yang boleh menghalang proses peralihan kuasa berjalan secara bertamadun…”

Oleh itu saya merasakan bahawa titah ucapan Baginda Sultan Perak ini mempunyai hubungan yang rapat denagn tabiat rakyat Malaysia selama ini  yang bergabung dalam parti politik yang berbeza, tetapI tetap mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam persaingan politik yang berasaskan kepartian yang sihat dan mesra. Malah saya merasa bahawa hal ini menjadi amat relevan ketika perjuangan negara kita kini yang berasaskan Satu Keluarga merupakan dasar yang utama oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sobri Yaakob

Malah bagi rakyat Melayu maka aliran perjuangan politik ini juga amat terpengaruh dengan pemikiran dan perasaan rakyat beragama Islam, yang masih menghormati nilai Islam dan budaya bangsa yang menjadi darah daging mereka, sehingga dengan itu mereka masih mampu menyelesaikan segala masalah mereka secara bertamadun dan aman damai, berdasarkan Perlembagaan negara dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Namun begitu saya sebagai anggota keluarga Malaysia yang sama-sama memahami agenda dan perjuangan satu keluarga dalam negara kita, merasakan banyak pelajaran yang perlu di ambil dari sejarah negara kita sendiri tentang masalah berbilang agama dan bangsa ini, terutamanya dalam perkembangan politik dan egosentrik kepartian yang nampaknya sekarang ini agak tercetus dengan hebat di dalam media sosial, yang menjadi media popular dan mencetuskan tekno stres yang agak membimbangkan.

Peristiwa dan tragedi 13 Mei 1969 yang hanya berlaku di Kuala Lumpur diantara kaum, telah memakan korban ratusan orang, iaitu satu peristiwa yang amat kecil, disebabkan oleh tindakan Kerajaan pada masa itu yang nampaknya segera mengambil langkah menggantungkan Parlimen dan mengisytiharkan penubuhan Majlis Gerakan Negara oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak.

Negara amat beruntung pada ketika itu, kerana pada tahun 1969 perkembangan media letronik dan internet seperti sekarang belum lagi wujud, dan berita perselisihan kaum ini tidak segera menjalar di seluruh negara dengan media baru. Maka keganasan hanya berlaku dalam daerah yang kecil dan terhad, malah dapat dipulehkan dalam masa yang singkat sahaja.

Bagaimana pun kebijaksanaan Kerajaan pada ketika itu ialah mencarikan penyelesaian antara kaum supaya hal ini tidak berterusan, atau menimbulkan kebimbangan kaum Melayu, di antara lainnya ialah  dengan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (NEP)

Menginsafi peristiwa yang berlaku itu, maka sejarah Melayu dan Islam ini dapat juga kita selidiki jika kita  kembali kepada peristiwa Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura dalam bulan Disember 1950, ketika Mahkamah memutuskan supaya Natrah, yang telah sedia menjadi insan beragama Islam dan berkahwin dengan rakyat Islam Singapura, supaya dikembalikan kepada ibu bapanya di Belanda dan diberikan hak untuk menentukan agamanya menurut undang-undang Belanda.

Namun ketika keputusan itu di keluarkan, rakyat Melayu Islam dari Tanah Melayu dan Singapura masih dapat menerimanya, kerana sifat berlembut dan mesra serta penghayatan nilai agama masih menguasai pemikiran dan emosi mereka.

Rusuhan hanya berlaku di Singapura secara sederhana dan aman, apa bila terdapat penipuan media massa di Belanda, dan Malaya/Singapura menyiarkan berita dan gambar palsu yang menghiris perasaan rohani dan jasmani orang Islam, iaitu gambar-gambar Natrah di Belanda yang kelihatannya telah mencabar agama Islam dan budaya bangsa sendiri, sedangkan beliau tidaklah berlaku begitu, semasa berada di dalam pemeliharaan keluarga angkat dan suaminya yang taat kepada agama Islam, sepanjang kehidupannya di Kemaman dan Singapura.

Hal ini juga membangkitkan sedikit kebimbangan akan kerisis politik yang mungkin timbul dalam kalangan bangsa sesama sendiri yang mungkin juga akan menjadi panas dan terbakar dengan perselisihan sesama sendiri  dan rasa taksub politik partisan, juga emosi yang panas akibat dari permusuhan tanpa bersebab, atau mencabar sentimen yang tertentu di dalam kalangan ahli politik sendiri.

Oleh itu sebarang butiran mutiara yang dihamburkan oleh DYMM Sultan Perak, yang menggambarkan falsafah kesultanan dan institusi beraja, malah prinsip kelembutan sifat serta budaya Melayu, serta wadah agama Islam yang bijaksana dan holistik, haruslah kita pelajari dengan baik, supaya orang Melayu Islam sendiri tidak seharusnya membangkitkan perasaan perkauman yang melulu dan tidak bernilai agama dan budaya, malah kaum lain di negara ini haruslah juga menjaga perasaan masing-masing terutamanya dalam hubungan kedaulatan Raja dan Perlembagaan negara, dan prinsip kepelbagaian dalam kesatuan (Unity in diversity), juga dasar keamanan bersama (Peaceful coexistence) dalam kepelbagaian bangsa dan agama, yang menjadi model terbaik negara kita selama ini pada pandangan dunia umumnya.

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +  4  =