Polis tumpaskan sindiket dadah antarabangsa

 Polis tumpaskan sindiket dadah antarabangsa

Razarudin (tiga dari kiri) dan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Pejabat Pengurusan Pentadbiran Lapangan Terbang (AMC), Sepang.

SEPANG, 1 Nov — Polis merampas 200 kilogram dadah jenis Syabu bernilai RM8.1 juta sekaligus menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Rampasan tersebut hasil serbuan pihak Polis di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam operasi antara 22 hingga 26 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, operasi dijalankan JSJN Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) KLIA.

Dalam satu sidang media sebentar tadi, Razarudin berkata pihak berkuasa sebelum itu memeriksa lima kotak barangan yang diisytiharkan sebagai peralatan elektronik menggunakan perkhidmatan kargo syarikat penerbangan dari KLIA ke Auckland, New Zealand.

” Hasil pemeriksaan menemui 200 kilogram syabu bernilai RM8.1 juta sebelum pihak berkuasa memberkas empat lelaki tempatan berumur 34 hingga 59 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan,” katanya.

Walau bagaimanapun, semakan rekod polis mendapati keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Siasatan awal mendapati dua suspek ditahan merupakan kakitangan syarikat penerbangan kargo. Saringan awal dijalankan mendapati seorang suspek positif dadah jenis ganja,” katanya.

Tambah Razarudin sindiket berkenaan dipercayai mula bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini.

Menurutnya lagi, siasatan mendapati terdapat empat kali penghantaran ke luar negara menggunakan modus operandi sama sebelum ini.

Tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta)1988.

Pelbagai aset turut disita dianggarkan bernilai RM234,955.76 antaranya ialah sebuah kenderaan jenis Ford Ranger bernilai RM180,000 selain wang tunai RM3,560, jam tangan bernilai RM2,000 dan tiga akaun bank berjumlah RM49,395.76.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan aset berjumlah RM8,334,955.76, katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Keempat-empat suspek yang diberkas telah direman bermula hari ini sehingga 5 November bagi membantu siasatan.

Razarudin berkata pihaknya akan terus mengesan saki baki ahli sindiket terlibat untuk diseret ke muka pengadilan.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

54  −    =  51