Polis tumpaskan sindiket curi motorsikal, tahan 9 ahli geng Apir

 Polis tumpaskan sindiket curi motorsikal, tahan 9 ahli geng Apir

MELAKA, 21 April — Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket curi motosikal dengan penahanan sembilan individu Geng Apir yang dipercayai terlibat dalam 14 kes jenayah berkenaan di sekitar daerah Melaka Tengah sejak Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata semua suspek yang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang remaja perempuan berumurĀ 14 hingga 31 tahun itu ditahan secara berperingkat melibatkan sembilan tangkapan berasingan di sekitar Malim, Tengkera dan Tiang Dua pada 8 April bermula 1 tengah hari hingga 5.30 petang.

Beliau berkata remaja perempuan berumurĀ 14 tahun itu merupakan teman wanita kepada ketua geng berkenaan yang dikenali sebagai Apir berumurĀ 23 tahun dan remaja itu tidak bersekolah kerana mempunyai masalah sosial.

“Geng Apir berjaya ditumpaskan selepas laporan polis yang dibuat seorang mangsa yang kehilangan motosikal Yamaha RXZ di rumahnya di Kampung Lapan kira-kira 7 pagiĀ pada 8 April lepas.

“Susulan laporan berkenaan, satu pasukan khas terdiri daripada anggota dan pegawai dari Balai Polis Malim dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah digerakkan untuk menjejaki kesemua suspek terlibat menerusi Op Lejang,” katanya pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.

Beliau berkata Apir yang merupakan penganggur adalah perancang utama bagi jenayah berkenaan serta ketua geng itu dan kumpulan terbabit menyasarkan motosikal antaranya Yamaha LC, RXZ dan Honda EX5 di kawasan Malim, Tengkera dan Batang Tiga.

Katanya, modus operandi geng berkenaan ialah meleraikan komponen motosikal yang dicuri sebelum menjualnya kepada individu yang ingin membeli alat ganti asli pada harga yang murah dan hasil jualan berkenaan digunakan untuk membeli dadah.

Afzanizar berkata sebanyak 10 motosikal dan dua rangka motosikal serta sebuah kereta yang dilaporkan hilang turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Dianggarkan nilai kerugian menerusi jenayah yang dilakukan Geng Apir ialah kira-kira RM36,000 termasuk sebuah keretaĀ yang dicuri pada Mac lepas,” katanya.

Beliau berkata lapan suspek lelaki tersebut didapati positif dadah jenis syabu dan kesemua mereka termasuk remaja perempuan berkenaan masih direman hingga esok.

Sementara itu, katanya sebanyak 47 kes curi motosikal dilaporkan di daerah Melaka Tengah dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  22  =  31