Polis tahan lima remaja, sita 30 kenderaan disyaki terlibat lumba haram

 Polis tahan lima remaja, sita 30 kenderaan disyaki terlibat lumba haram

KUANTAN, 12 April — Polis menahan lima remaja dan menyita 30 kereta dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram dalam operasi di Taman Perindustrian Indera Mahkota 14 dekat sini, semalam.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Supt Dr Bakri Zainal Abidin berkata operasi selama tujuh jam bermula 5 petang itu mendapati lima remaja berkenaan memandu tanpa lesen dan laluan sepanjang 250 meter di taman itu sering dijadikan ‘litar’ bagi pelumba haram beradu kelajuan.

“Dua kereta akan dilepaskan seretak bagi menentukan kenderaan yang paling laju untuk diumumkan sebagai pemenang. Semua kenderaan terlibat didapati telah melakukan pengubahsuaian pada enjin dan bahagian dalaman bagi membolehkan pemandunya mencapai kelajuan maksimum,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Trafik Kuantan di sini malam tadi.

Menurut Bakri siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengenal pasti sama ada perlumbaan itu turut melibatkan wang pertaruhan kerana polis percaya ia bukan kali pertama dianjurkan.

Operasi berkenaan melibatkan tujuh pegawai dan 25 anggota dari JSPT Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Polis turut menyoal siasat beberapa wanita dan kanak-kanak, dipercayai ahli keluarga yang dibawa bersama-sama untuk menonton perlumbaan itu, sebelum mereka dilepaskan selepas proses dokumentasi, katanya.

Bakri berkata siasatan dijalankan atas pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menduga kelajuan secara tidak sah yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, polis turut menyiasat jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa di Pahang

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

32  −  23  =