Polis tahan lelaki merusuh

 Polis tahan lelaki merusuh

JOHOR BAHRU, 13 Mei — Polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes insiden merusuh di Parit Raja, Batu Pahat yang tular dalam laman sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata lelaki tempatan berumur 21 tahun itu ditahan ketika dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kejadian di Balai Polis Parit Raja, Batu Pahat, kira-kira jam 8.30 malam.

Katanya, sebelum itu, polis telah dimaklumkan oleh orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ yang digantung di sebuah jejantas Jalan Parit Raja menuju ke Ayer Hitam pada jam 11.04 pagi ini.

Ekoran daripada itu, beberapa anggota katanya telah pergi ke lokasi dimaksudkan dan mendapati kain rentang tersebut telah diturunkan oleh orang awam.

“Namun tidak lama selepas itu, polis menerima pula aduan tentang satu video perhimpunan, pembakaran suar dan kejadian menaikkan kain rentang yang tertulis ‘Kerajaan Gagal’ tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan Parit Raja dan dipercayai kain yang dinaikkan semasa perhimpunan berkenaan adalah kain rentang sama yang digantung di jejantas berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau menambah polis juga menerima beberapa laporan yang memaklumkan terdapat aktiviti Mat Rempit di kawasan terbabit dari jam 12 tengah malam tadi hingga 1 pagi ini.

Oleh itu, katanya, polis akan mempertingkatkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan di daerah itu khususnya kawasan Parit Raja.

Dalam masa sama, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu terbabit dan usaha untuk mengesan dan menahan mereka sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 144/269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  3  =