Polis tahan lelaki dipercayai pukul dan ludah anggota Rela

 Polis tahan lelaki dipercayai pukul dan ludah anggota Rela

LUMUT, 17 Mei — Dipercayai kerana berang tidak dibenarkan masuk ke pasar yang belum dibuka, seorang lelaki bertindak memukul dan meludah seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam kejadian di Pasar Awam Looking Good, Sitiawan di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata dalam kejadian kira-kira  6.45 pagi itu, suspek berumur 52 tahun tersebut turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada mangsa yang menjaga laluan pintu masuk di pasar berkenaan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menahan suspek daripada masuk ke pasar itu yang hanya akan dibuka pada 7 pagi, namun suspek tidak menghiraukan arahan dan tetap masuk ke pasar, menyebabkan berlaku pergelutan yang mana suspek dikatakan memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, mangsa yang berumur 45 tahun membuat laporan polis dan suspek ditangkap pada 8.50 malam semalam bagi membantu siasatan.

Nor Omar berkata semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan dia kini direman empat hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Klip video kejadian itu turut tular menerusi laman sosial sejak semalam.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

83  −  82  =