Polis tahan tiga suspek kes cubaan jualan vaksin

 Polis tahan tiga suspek kes cubaan jualan vaksin

KUALA LUMPUR, 24 jun — Polis menahan tiga orang suspek dipercayai terlibat kes cubaan jualan vaksin COVID-19 disini.

Ketua Polis Kuala Lumpur CP Datuk Azmi Abu Kassim berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya telah menjalankan siasatan susulan menerima laporan polis dari seorang petugas Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).

Menurut pegawai penyelidik wanita tersebut, beliau mendapat maklumat terdapat aktiviti penjualan vaksin COVID-19 kepada orang ramai.

Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dan Bahagian Risikan / Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur telah membuat serbuan dan tangkapan terhadap tiga orang suspek.

Semalam, polis telah menahan 2 wanita dan seorang lelaki berusia antara 23 hingga 50 tahun di sekitar Putrajaya dan Brickfields.

Kesemua suspek merupakan pekerja bahagian jualan di syarikat swasta.

“Polis turut merampas sebanyak enam buah telefon bimbit dan beberapa dokumen semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Azmi turut berkata tahanan reman dibawah seksyen 117 KPJ selama tiga hari ke atas kesemua suspek telah dibenarkan bermula hari ini hingga 26 Jun 2021.

Kes disiasat dibawah seksyen 420 / 511 Kanun Keseksaan, cubaan menipu.

“Hasil siasatan mendapati suspek akan menghubungi orang awam dan menawarkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 dengan harga RM420,” katanya.

Bayaran akan dibuat selepas suntikan diberikan kepada pelanggan.

Sementara itu Ketua Sekretariat CITF Persekutuan telah mengesahkan bahawa Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) tidak memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjual vaksin COVID-19.

Azmi mengingatkan orang ramai agar tidak menerima tawaran dari mana-mana pihak yang menjual vaksin COVID-19.

Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat tentang aktiviti tersebut, hubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 – 2115 9999 atau sekretariat CITF di talian 03 – 8893 4303 / 4304.

–TAMAT–

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  39  =  43