• Sunday, 20 June 2021, 3:44 pm

Polis PJ dedah lakaran wajah suspek cubaan rogol

 Polis PJ dedah lakaran wajah suspek cubaan rogol
PETALING JAYA, 27 Mei – Polis Petaling Jaya telah mengeluarkan lakaran wajah seorang lelaki dipercayai suspek yang didakwa melakukan serangan jenayah dengan cubaan merogol seorang wanita Isnin lepas.
Mengikut laporan, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi di kawasan tempat letak kereta sekitar Kota Damansara dilakukan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali yang mana mangsa pada ketika itu berada di luar kereta sebelum ditolak oleh suspek dari arah belakang sehingga menyebabkan mangsa jatuh terlentang.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, suspek telah bertindak menindih badan mangsa sambil meraba tubuh badan dan cuba membuka baju mangsa.
“Mangsa yang ketakutan itu telah meronta dan menjerit meminta tolong menyebabkan suspek bertindak menumbuk muka mangsa berkali-kali.
Polis Petaling Jaya mengeluarkan lakaran wajah suspek kes  cubaan merogol dan pukul seorang wanita yang berlaku di sekitar Kota Damansara pada Isnin lepas.
“Mangsa yang berjaya melepaskan diri telah menekan hon kereta menyebabkan suspek panik dan melarikan diri,” katanya.
“Siasatan awal mendapati, mangsa telah berselisih dengan suspek ketika berjalan kaki menuju ke keretanya yang diparkir dalam sebuah bangunan komersial di kawasan tempat letak kereta di sekitar Kota Damansara.
“Suspek dipercayai warga tempatan berasal dari Sabah berusia 25 tahun, berketinggian kira-kira 165 sentimeter dan mempunyai tatu penuh di tangan kanan,” jelasnya.
Mangsa seorang warganegara tempatan berusia 21 tahun, telah mengalami kecederaan bengkak dan lebam pada mukanya akibat kejadian tersebut dan telah membuat laporan polis pada hari yang sama kejadian berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan serta Seksyen 323 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *