Polis Pahang kenal pasti pelajar terbabit kes buli di tiga sekolah

 Polis Pahang kenal pasti pelajar terbabit kes buli di tiga sekolah

KUANTAN, 14 Disember 2021 – Polis Pahang telah menerima laporan kes buli melibatkan tiga buah sekolah di negeri ini dalam tempoh empat hari bermula 6 Disember lalu termasuklah melibatkan sebuah sekolah berasrama di Muadzam Shah di Rompin.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pada masa ini siasatan giat dilakukan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Semua pelajar yang terbabit telah dikenalpasti dengan bantuan pihak sekolah terbabit dan tindakan-tindakan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Berdasarkan soal siasat mendapati mangsa menyembunyikan kejadian dan hanya membuat laporan polis setelah balik bercuti dan apabila disedari oleh keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum ini kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak tersebar, satu lagi kes dilaporkan berlaku di sebuah sekolah berasrama di Pahang yang mengakibatkan empat pelajar cedera dan trauma selepas dijadikan ‘karung tinju’ oleh sekumpulan senior.

Kejadian itu didakwa berlaku pada Jumaat minggu lalu apabila kesemua mangsa berusia 14 tahun itu dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak serta dikenakan hukuman rotan oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.

Menurut Mohd Yusri, tiga laporan kes buli itu diterima membabitkan pelajar di asrama sekolah di Muadzam Shah, Rompin; Maran dan juga sebuah sekolah berasrama di Lipis.

Katanya, laporan pertama diterima pada 6 Disember lalu daripada seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Muadzam Shah yang mendakwa dipukul senior kerana menyalahguna telefon bimbit hingga mengalami bengkak dan lebam di bahagian badan.

Katanya, laporan kedua diterima pada 10 Disember daripada seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Maran menyatakan dipukul oleh beberapa pelajar senior kerana dikatakan memotong barisan di dewan makan asrama sehingga mengalami lebam pada bahagian perut.

“Pada 10 Disember juga polis turut menerima laporan daripada seorang pelajar tingkatan dua menyatakan ketika berada di asrama sebuah sekolah di Kuala Lipis telah dipukul dengan tangan oleh beberapa orang pelajar senior berpunca kerana dituduh menghisap vape di asrama dan mangsa mengalami kesan lebam dan bengkak di bahagian muka,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan pihak keluarga pelajar yang terlbabit diminta memberikan kerjasama kepada pihak sekolah serta pihak polis.

“Polis Pahang akan bekerjasama dengan pihak pentadbiran sekolah terutamanya sekolah berasrama bagi membantu pihak pentadbiran sekolah membendung gejala buli dan pergaduhan ini dari terus menjadi budaya yang tidak sihat.
“Semua Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM di Pahang juga telah diarahkan untuk memberikan perhatian berkenaan isu ini,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

54  −  49  =