• Sunday, 20 June 2021, 9:27 am

Polis nafi Sajat berada di Johor Bahru

 Polis nafi Sajat berada di Johor Bahru

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 25 Mei – Polis meminta netizen tidak melayan isu yang tidak pasti terutamanya berkaitan usahawan kosmetik yang kini dalam buruan polis, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman kononnnya berada di Johor Bahru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Yusof Ahmad berkata, dakwaan bahawa Muhammad Sajjad, 36, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat berada di daerah ini adalah tidak benar.

“Pemeriksaan telah dilakukan di lokasi yang didakwa iaitu di sebuah premis perniagaan terletak di Pusat Komersial Bandar Baru Uda dan sebuah kondominium di Danga Bay kelmarin.

“Bagaimanapun, tiada langsung kelibat Sajat di dua lokasi berkenaan. Saya harap natizen jangan layan sangat isu sebegini. Polis banyak lagi kerja lain lebih-lebih lagi sekarang ini isu COVID-19 lebih penting.

“Kalau nampak depan mata barulah maklumkan kepada pihak polis, jika tiada, tak perlu reka cerita yang membuang masa dan menyusahkan polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini tular dalam media sosial Sajat sedang berada di Johor Bahru berdasarkan gambar yang dikongsikannya di Instagram, Sabtu lalu yang didakwa di Pusat Komersial Bandar Baru Uda.

Pada 26 April lalu, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang ketika itu Timbalan Ketua Polis Negara berkata, Sajat dipercayai berada di luar negara berdasarkan maklumat terkini pihaknya dan usaha mengesan usahawan kosmetik itu sedang dilakukan.

Sajat dipercayai bersembunyi selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal menghadirkan diri dalam sebutan semula kes beliau tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *