Polis Melaka rekod tujuh penipuan bebas tahanan lokap tahun lepas

 Polis Melaka rekod tujuh penipuan bebas tahanan lokap tahun lepas

MELAKA, 22 Feb — Polis Melaka merekodkan tujuh kes melibatkan kerugian RM165,500 pada tahun lepas, membabitkan penipuan untuk membebaskan tahanan dalam lokap menerusi panggilan telefon yang diterima mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata, sejak Jan hingga semalam pula, sebanyak tiga kes sama direkodkan melibatkan kerugian sebanyak RM44,000.

Beliau berkata kes terbaharu melibatkan seorang suri rumah berlaku semalam, menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM9,000 akibat tertipu dengan panggilan telefon oleh seorang individu yang menyamar sebagai ‘Sarjan Hairol’, bagi membebaskan suaminya dari tahanan lokap yang ditahan atas kesalahan memiliki rokok yang tidak mendapat pengesahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Suspek mendakwa dirinya adalah pegawai penyiasat bagi kes tersebut dan kemudian menawarkan kepada mangsa berusia 26 tahun itu, untuk membebaskan suaminya yang berada di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin tanpa dikenakan apa-apa tindakan, namun perlu membuat bayaran.

“Mangsa telah bersetuju dan telah membuat transaksi berjumlah RM9,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek dan setelah bayaran dilakukan, wanita itu menunggu suaminya di IPD berkenaan namun mendapati suaminya masih tidak dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sundra Rajan berkata mangsa telah bertanyakan hal tersebut kepada anggota di situ, namun dimaklumkan dirinya telah ditipu dan kemudian dia  menghubungi semula ‘Sarjan Hairol’ tetapi panggilan telah disekat.

“Hasil semakan pihak polis mendapati memang benar suami mangsa telah ditahan di lokap IPD Tampin atas kesalahan tersebut. Mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Pulau Sebang, Alor Gajah dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,” katanya.

Katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak percaya dengan individu yang menyamar sebagai polis dan menawarkan untuk membebaskan mana-mana tahanan lokap dan disaran menyemak nombor telefon yang diragui di aplikasi ‘Semak Mule CCID’.

— BERNAMA

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  5  =  11