Polis kesan wanita tumbuk, baling pisau ke arah pegawai MBPP

 Polis kesan wanita tumbuk, baling pisau ke arah pegawai MBPP

GEORGE TOWN,17 Mei — Polis sedang berusaha mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian menumbuk dan membaling pisau ke arah pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dalam insiden di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti identiti wanita dipercayai berusia lingkungan 40-an itu.

Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai MBPP pada pukul 1.38 tengah hari semalam, yang memberitahu bahawa kejadian bermula apabila wanita itu ditegur kerana memasuki pasar berkenaan tanpa mengikut laluan masuk yang ditetapkan, di samping tidak memakai pelitup muka.

Katanya wanita yang berang itu kemudiannya bertindak menumbuk perut salah seorang pegawai MBPP itu sebelum masuk ke dalam pasar dan membaling pisau ke arah mereka, dan siasatan mendapati wanita itu sering membuat kecoh setiap kali datang ke pasar berkenaan.

“Polis sedang berusaha mengesan wanita itu, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil menyalurkannya kepada kami. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas,” katanya ketika dihubungi.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

11  −    =  9