Polis Johor tahan 118 individu terlibat judi dalam talian

 Polis Johor tahan 118 individu terlibat judi dalam talian

Ayob Khan menunjukkan pelbagai peranti yang dirampas dalam Op Dadu yang dijalankan bermula 15 hingga 31 Julai lalu di Johor.

JOHOR BAHRU, 2 Ogos — Seramai 118 individu ditahan dalam Op Dadu yang memberi tumpuan khas terhadap sindiket perjudian dalam talian di seluruh negeri ini bermula 15 hingga 31 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam tempoh itu, pihaknya telah menyerbu 90 premis di seluruh negeri ini yang majoritinya merupakan rumah kedai.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 58 tahun dan melibatkan seramai 99 orang penjaga premis dan 19 pemain.

“Dalam semua serbuan yang dijalankan, polis turut merampas 125 telefon bimbit, satu unit komputer, satu unit tablet dan wang tunai berjumlah RM20,184,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Menurutnya, sindiket berkenaan menyasarkan mangsa daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar, kakitangan kerajaan dan warga emas.

Ayob Khan berkata, sepanjang tempoh operasi, 46 premis telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala empat premis dibatalkan lesen perniagaan.

Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sejak 1 Januari hingga 31 Julai lalu, polis Johor telah membuat sebanyak 525 serbuan melibatkan pusat perjudian dalam talian di negeri ini.

Sepanjang tempoh itu, seramai 705 individu berjaya ditahan melibatkan 549 penjaga premis dan 156 pemain.

“Kejayaan yang direkodkan ini adalah hasil risikan polis serta kerjasama masyarakat awam yang terus menerus memberikan maklumat, sekali gus membantu polis menjalankan operasi,” katanya.

Beliau berharap orang ramai akan terus memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian 07-2212999 atau 07-2254677 atau terus ke balai polis terdekat.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =