Polis Johor pantau lokasi berkelah, perkhemahan

 Polis Johor pantau lokasi berkelah, perkhemahan

Polis Johor akan terus memantau lokasi perkelahan supaya orang ramai sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

JOHOR BAHRU, 14 Sept — Polis Johor akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan di kawasan tumpuan awam bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi ekoran beberapa kelonggaran baharu yang diberi kerajaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pelaksanaan tindakan penguatkuasaan akan dibuat mengikut SOP sempena Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih berkuat kuasa di negeri ini.

“Saya faham, orang ramai sememangnya ingin mengunjungi lokasi-lokasi perkelahan setelah sekian lama tidak dibenarkan, tetapi apa yang penting kita perlu menjaga diri daripada terkena jangkitan COVID-19 yang boleh membawa maut.

“Walaupun kanak-kanak bawah 17 tahun dibenarkan dibawa oleh ibu bapa yang telah menerima suntikan dua dos vaksin, saya menyarankan sekiranya lokasi tersebut dilihat tidak sesuai untuk dikunjungi, boleh ditangguhkan sementara aktiviti perkelahan ini kerana risiko jangkitan lebih berbahaya kepada kanak-kanak dan juga bayi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baru-baru ini, semakin ramai pihak dilihat mengunjungi tempat awam dengan tujuan untuk berkelah dan berkhemah selepas kerajaan membenarkan aktiviti berkenaan diadakan.

Tambahnya, walaupun aktiviti demikian dibenarkan namun pematuhan SOP perlu dibuat, antaranya penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan pendaftaran aplikasi MySejahtera.

“Aktiviti perkelahan dan perkhemahan adalah dibenarkan dalam daerah yang sama. Individu yang telah menerima vaksin lengkap adalah dibenarkan membawa anak-anak yang berusia 17 tahun dan ke bawah bagi aktiviti tersebut dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Maksud vaksinasi lengkap adalah mereka yang telah menerima dua dos vaksin sama ada Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac dan individu berkenaan hendaklah melepasi tempoh 14 hari untuk suntikan dos kedua,” ujarnya.

Ayob Khan bagaimanapun mengingatkan orang ramai yang mengunjungi lokasi berkenaan agar mengambil inisiatif dengan memastikan semua SOP dipatuhi.

“Semua ini bergantung kepada kesedaran masyarakat, mereka perlu memastikan keselamatan dan kesihatan masing-masing walaupun aktiviti berkenaan telah dibenarkan beroperasi,” ujarnya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  3