• Sunday, 20 June 2021, 12:04 pm

Polis gagalkan cubaan tahanan kes rogol lari dari hospital

 Polis gagalkan cubaan tahanan kes rogol lari dari hospital

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Cubaan seorang tahanan lelaki yang merupakan suspek kes rogol untuk melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Selayang petang semalam gagal berikutan tindakan pantas anggota polis yang mengawalnya.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, tahanan berusia 39 tahun itu bertindak melompat dari katil dan berlari ke arah luar hospital dalam keadaan tangan kiri masih bergari.

Menurutnya dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh yang ditugaskan untuk menjaga suspek telah mengejar dan menahannya kira-kira 120 meter dari lokasi kejadian.

“Semasa proses tangkapan, berlaku pergelutan dan seorang daripada anggota mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Arifai berkata suspek sebelum itu dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan kerana mengalami penyakit sawan pada Ahad lepas dan ditahan reman tujuh hari di IPD Sungai Buloh, bagi membantu siasatan kes rogol.

Katanya semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Arifai berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada lapan individu termasuk lima wanita berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika meraikan Aidilfitri di sebuah kediaman di Kampung Baru, Batu Caves di sini, Khamis lepas.

Menurutnya siasatan dijalankan susulan pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 16 saat berhubung kejadian itu yang dimuat naik seorang pemilik akaun Instagram pada 3.45 petang semalam.

“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 13 Mei lepas kira-kira 3 petang dan perakam yang merupakan menantu kepada pemilik rumah yang merakam keadaan tetamu di dalam dan luar rumah.

“Semakan juga mendapati kesemua tetamu yang berada di dalam rumah itu adalah ahli keluarga suami perakam,” katanya.

Arifai berkata siasatan turut mendapati ahli keluarga suami perakam itu tinggal di sebuah rumah berasingan yang jaraknya lebih kurang 20 meter dari rumah berkenaan.

Katanya lapan individu berusia 18 hingga 55 tahun telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan dan kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu tular di laman sosial satu video memaparkan suasana sambutan Hari Raya pertama dengan sekumpulan individu menikmati juadah di meja makan dan perkongsian tersebut mendapat kecaman warganet.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *