Polis bongkar sindiket proses arak tiruan

 Polis bongkar sindiket proses arak tiruan

Abd Rahim (kanan) meninjau rampasan arak seludup dan tiruan bernilai lebih RM9.5 juta yang dirampas sambil diperhatikan oleh Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri) di Taman Desa Impian, Senai di sini

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 16 Mei – Polis membongkar satu sindiket pemprosesan arak tiruan dan mẹmbuat rampasan bernilai RM9.55 juta dalam serbuan di sebuah kilang di Jalan Idaman 1/10, Taman Desa Idaman, Senai di sini, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya pada jam 6.10 pagi.

Polis menahan dua suspek yang merupakan pekerja, masing-masing seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan seorang lelaki Myanmar, 35, dalam serbuan tersebut.

Polis turut merampas 93 tong berisi 18,600 liter cecair arak tiruan, 17 gelen (340 liter) pati campuran arak dan 5,419 botol (4,138.84 liter) arak.

“Turut dirampas, sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace, lima pam air, beberapa gulung pelekat kastam palsu dan dua mesin gerudi. Kesemua rampasan bernilai RM9.55 juta,” katanya dalam sidang akhbar di kilang berkenaan.

Beliau berkata, serbuan berkenaan dibuat menerusi Op Kontraban yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Abd Rahim berkata, sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menyewa premis berkenaan, manakala produk yang dihasilkan dijual ke seluruh negeri ini.

Sejak 1 Januari hingga 10 Mei tahun ini, Briged Tengah PGA telah menjalankan sebanyak 52 serbuan Op Kontraban di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Dalam kesemua operasi itu, seramai 118 suspek berusia antara 23 hingga 64 tahun telah ditahan dengan rampasan keseluruhan lebih RM27 juta,” ujarnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  3  =