Polis Besut lancar Ops Khas Ekzos Bising

 Polis Besut lancar Ops Khas Ekzos Bising

Semua kenderaan melalui pintu masuk Terengganu-Kelantan diperiksa oleh anggota Trafik dan JPJ Besut – Gambar Ihsan IPD Besut

Oleh Mohammad Ishak

JERTIH, 11 Mac : Sebanyak 120 kenderaan diperiksa menerusi OPS Ekzos Bising yang dijalankan serentak seluruh daerah ini, semalam.

Operasi yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Besut itu melakukan sekatan jalan raya terutama di sempadan pintu masuk negeri ini melalui Kelantan.

Superintendan Abdul Rozak Mohammad

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad berkata, sepanjang tempoh operasi dijalankan, pihaknya mengeluarkan 33 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Katanya, antara kesalahan yang banyak dilakukan oleh pemandu ialah tiada lesen memandu, nombor plat tidak mengikut peraturan, LKM tamat tempoh, tiada cermin sisi dan ubah suai ekzos kenderaan.

Beliau berkata, operasi khas ini bagi memeriksa kenderaan yang telah melakukan pengubahsuaian ekzos dan tindakan sita boleh dilakukan di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Kuasa-Kuasa Menyita Kenderaan Bermotor sehingga diperlukan bagi tujuan mengelak kesalahan tersebut berterusan (Kesalahan Pengubahsuaian Ekzos).

“Kenderaan terbabit boleh diserahkan semula kepada tuan punya setelah tindakan menggantikan ekzos asal,” katanya.

Beliau menasihatkan mana-mana pemilik kenderaan yang telah membuat pengubahsuaian ekzos agar memasang semula ekzos asal kerana ekzos yang diubah suai mengeluarkan bunyi bising sekali gus mengganggu ketenteraman orang awam dan kawasan sekeliling.

“Operasi ini akan berterusan dari masa ke semasa,” katanya.

Abdul Rozak berkata, mana-mana individu yang didapati bersalah membuat pengubahsuaian ekzos sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara 6 bulan di bawah Kaedah 103 iaitu di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

15  +    =  21