• Friday, 18 June 2021, 1:31 am

Polis akan panggil EXCO Selangor langgar SOP Aidilfitri

 Polis akan panggil EXCO Selangor langgar SOP Aidilfitri

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed

SHAH ALAM, 21 Mei — Polis akan memanggil seorang Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri Selangor bagi membantu siasatan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkenaan ziarah Aidilfitri dengan menganjurkan majlis sambutan hari raya baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata selain exco itu, pihaknya akan turut memanggil kesemua individu yang terdapat di dalam gambar sambutan terbabit seperti yang tular dalam media sosial.

Beliau berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No. 4) (Pindaan) (No.16) 2021.

“Setakat ini, kita belum memanggil mana-mana individu dan proses seterusnya dijalankan hari ini tetapi semua individu dalam gambar itu akan dipanggil untuk diambil keterangan termasuk exco tersebut,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Baru-baru ini, tular sekeping gambar dalam media sosial yang memaparkan majlis sambutan yang diadakan di rumah wakil rakyat berkenaan di Kuala Langat.

Sementara itu, Arjunaidi menegaskan kematian seorang tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam, bukan berpunca daripada urusan siasatan polis.

Beliau berkata lelaki berusia 43 tahun dari Selayang itu dibawa dari sebuah kilang pada kira-kira 11.20 pagi berhubung urusan dokumentasi waran tangkap oleh mahkamah dan dia juga tidak digari kerana memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Dia dibawa kerana waran yang dikeluarkan oleh mahkamah terhadapnya dan (akan) diberi jaminan polis untuk hadir ke mahkamah,” katanya.

Menurut Arjunaidi, lelaki itu sesak nafas sejurus tiba di IPD Gombak pada 11.40 pagi dan masih bernafas ketika pasukan paramedik dari Hospital Selayang tiba untuk memberikan bantuan kecemasan sebelum meninggal dunia.

Beliau menegaskan lelaki itu bukan dibawa untuk tujuan siasatan berhubung kesalahannya sebelum ini kerana urusan tersebut sudah selesai pada 2016.

Katanya pihaknya telah menyerahkan kepada pihak hospital untuk siasatan lanjut berhubung kematian lelaki itu dan akan menyerahkan kertas siasatan kepada koroner untuk inkues, selepas kesemua prosedur selesai.

Semalam, media melaporkan seorang tahanan polis meninggal dunia di IPD Gombak selepas mengalami sesak nafas semasa ditahan bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *