Pokok jambu tempat berpaut 18 jam

 Pokok jambu tempat berpaut 18 jam

Zuliah Simoh@Mokhtar dan suaminya, Roslan Maalik memilih pakaian mereka yang ditenggelami banjir di Kampung Karak Setia.

BENTONG: Seorang bekas tentera bertarung nyawa selama 18 jam diatas pokok jambu selepas dihanyut kepala air dalam kejadian banjir di Kampung Setia, di sini pada 18 Disember lalu.

Detik cemas itu diceritakan isteri mangsa, Zuliah Simoh@Mokhtar, 49, yang mendakwa pertolongan Yang Maha Esa menyelamatkan nyawa suaminya, Roslan Maalik, 52 yang hampir lemas dibawa arus deras air.

Menceritakan semula detik cemas itu Zuliah berkaya, suaminya bertindak kembali semula ke rumah mereka untuk menyelamatkan dokumen penting daripada ditenggelami banjir.

Kejadian itu berlaku selepas dia menghantar Zuliah dan dua anak mereka berusia 10 dan 19 tahun ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia, di sini.

“Kira-kira jam 10 malam tadi suami bertindak menaiki kenderaan pacuan empat roda pulang ke rumah sambil mengharungi banjir dengan keadaan arus air yang deras.

“Ketika tiba kawasan rumah mereka, suami meredah banjir bagaimanapun terus hanyut dibawa arus deras sehingga berpaut kepada pokok jambu.

Suami memanjat paling atas pokok itu kerana air semakin naik dengan pantasnya,” ceritanya.

Tambahnya lagi, sepanjang malam beliau tidak dapat melelapkan mata memikirkan nasib suami yang tidak kembali ke PPS.

“Saya meminta bantuan jiran sekampung untuk mengesan kedudukan suami.

“Debaran saya semakin kencang apabila keesokan hari kelibat suami terus tidak kelihatan, penduduk mendakwa terdapat beberapa jiran terperangkap di rumah mereka berikutan paras banjir setinggi lebih empat meter.

“Saya nekad sekiranya suami tidak ditemui, saya sendiri akan mencarinya walaupun berhadapan bahaya banjir,” katanya yang berasal dari Felda Jengka 11, Maran.

Zuliah berkata, dia difahamkan anggota Bomba dan Penyelamat menemui suaminya diatas pokok jambu ditepi rumah selepas dibawa arus deras.

Sukarelawan membantu membersih rumah Zuliah Simoh@Mokhtar dan suaminya, Roslan Maalik yang ditenggelami banjir di Kampung Karak Setia.

Katanya, suami menceritakan detik sepanjang berada diatas pokok pelbagai ujian dihadapi, disebabkan terlalu sejuk, lapar dan terlalu penat dia terjatuh dalam air sebelum berenang untuk memanjat semula pokok.

“Dia (suami) mendakwa badanya disengat serangga, selain melihat kepala air yang deras membawa bersama kayu dan banjir ketika itu diparas bumbung rumah.

“Kekuatan mental suami yang sebelum ini bertugas sebagai anggota tentera darat membolehkanya bertahan diatas pokok selama 18 jam, tanpa ketahanan diri sudah tentu dia tewas,” katanya yang telah 12 tahun menetap di Kampung Karak Setia.

Zuliah berkata, dia kerugian lebih RM300,000 apabila semua barangan dan peralatan termasuk tiga kereta dan empat motosikal tidak dapat diselamatkan.

Banjir bersama kepala air membawa bersama lumpur tebal memburukkan lagi keadaan.

Menurutnya, dia sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang apabila semua pakaian ditenggelami banjir, bantuan mencuci rumah oleh pelbagai pihak dapat meringankan beban yang ditanggung dia sekeluarga.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

87  −    =  81