PN Johor minta rakyat jayakan Pelan Pemulihan Negara

 PN Johor minta rakyat jayakan Pelan Pemulihan Negara

Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU, 29 Jun – Perikatan Nasional (PN) Johor meminta rakyat tanpa mengira latar belakang ideologi politik supaya terus bersama-sama kerajaan dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19, sekali gus menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat menjayakan ‘roadmap’ peralihan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berfasa sepenuhnya tanpa sokongan daripada semua pihak.

“Justeru, marilah kita membulatkan tekad dalam setiap usaha bagi melindungi diri dan masyarakat sekeliling, seterusnya bersatu hati menjayakan setiap agenda Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bekas Menteri Besar itu turut berharap rakyat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, selain melakukan pendaftaran vaksin bagi mencapai imuniti kelompok dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam pada itu, beliau menyifatkan usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) merupakan bukti terbaik kerajaan PN prihatin terhadap keperluan rakyat negara ini.

Beliau berharap rakyat yang terkesan akan mendapat manfaat daripada segala program bantuan dalam Pemulih berjumlah RM50 bilion itu yang bersifat holistik.

“Selain memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu Kumpualan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra, pengumuman moratorium enam bulan kepada semua peminjam individu secara automatik sudah tentu memberikan kelegaan kepada rakyat.

“Begitu juga dengan diskaun bil elektrik dan pemberian Bantuan Khas COVID-19 kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 yang sudah pasti meredakan keresahan rakyat,” katanya.

Muhyiddin mengumumkan beberapa pakej bantuan menerusi inisiatif Pemulih yang melibatkan semua golongan masyarakat di negara ini dalam berdepan tempoh sukar akibat COVID-19.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

80  −  79  =