PN boleh kerjasama dengan wakil rakyat UMNO sama prinsip

 PN boleh kerjasama dengan wakil rakyat UMNO sama prinsip

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 5 April – Kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan mana-mana pemimpin atau wakil rakyat UMNO yang mempunyai prinsip dan pendirian sama dengan gagasan itu masih boleh diteruskan.

“Yang penting, kita sama-sama memperjuangkan kebajikan dan kepentingan rakyat,” kata Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong ketika ditanya pendirian politik yang harus diambil oleh PN terhadap UMNO susulan beberapa tindakan dan kenyataan ‘panas’ beberapa pemimpin parti itu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, minggu lalu.

Oh Tong Keong

Beliau berkata, bukan sesuatu yang menghairankan apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjadikan BERSATU sasaran dalam ucapan dasar beliau kerana itu adalah pandangan serta haknya kerana setiap orang berhak bersuara serta menyuarakan pendirian masing-masing.

“Apatah lagi dengan Zahid yang sebagai Presiden UMNO. Sudah tentunya beliau akan menyuarakan pendirian UMNO dalam isu kerjasama UMNO dengan BERSATU yang sudah lama dibangkitkan dan orang ramai sudah sedia maklum,” katanya.

Oh percaya pendirian UMNO yang dinyatakan oleh Zahid adalah dalam jangkaan kebanyakan orang.

“Hal ini kerana UMNO menganggap mereka adalah ‘big brother’ dalam politik Melayu dan mesej ini telah jelas disampaikan oleh kebanyakan pemimpin UMNO sama ada secara langsung atau tidak langsung sebelum PAU berlangsung,” katanya.

Mengenai dilema menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC dari UMNO yang diminta meletakkan jawatan, Timbalan Presiden Gerakan itu berkata, terdapat suara yang berbeza berhubung isu tersebut.

“Sepertimana yang dikatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri bahawa mereka tidak membuat ketetapan agar semua pemimpin parti yang memegang jawatan dalam kerajaan melepaskan jawatan mereka. Khairy Jamaluddin pula meminta pemilihan parti diadakan, dan ada juga yang menyatakan mereka menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Walau bagaimanapun, cadangan atau kenyataan letak jawatan ini dilihat sebagai satu tindakan yang cuba mengugut kerajaan PN ketika negara kita diancam pandemik COVID-19,” katanya.

Menurut Oh, negara kini menghadapi cabaran yang besar kita memerlukan sebuah kerajaan seperti PN yang dapat mempertahankan kestabilan politik negara, mengutamakan kepentingan rakyat, memberi fokus kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara buat masa ini.

“Wakil rakyat harus berorientasikan rakyat dan bukan demi mencapai agenda politik masing-masing. Biar urusan mengenai keselamatan rakyat diselesaikan terlebih dahulu, ketepikan agenda politik peribadi,” katanya.

Ditanya mengenai pendirian yang Gerakan akan nyatakan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN berhubung situasi politik negara sekarang, Oh berkata: “Soal kestabilan politik serta mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat adalah antara perkara yang akan kami ketengahkan ketika negara kita dilanda wabak COVID-19.”

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  5