PN, BN perlu terap semangat ‘PRN Sabah’

 PN, BN perlu terap semangat ‘PRN Sabah’

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional perlu menerapkan semangat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berjaya mencapai persetujuan untuk memenangi kerusi secara bersama.

Memetik wawancara Berita Harian, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata meskipun tidak semua perkara memuaskan hati setiap parti, pengalaman di Sabah membuahkan hasil apabila PN dan BN bersepakat tidak mewujudkan pertembungan tiga penjuru.

“Secara umum, persetujuan itu berjaya dicapai, sekali gus mengelakkan pertembungan tiga penjuru kerana masing-masing dapat berbincang serta mengagihkan kerusi.

“Memang diakui wujud pertembungan dan tiada parti berpuas hati, tetapi dapat mengelakkan berlaku pertembungan dalam PRN Sabah.

“Ini kerana, jika ada pertembungan ia hanya akan memecahbelahkan undi, jadi kita perlu lihat parti mana yang banyak menguasai kerusi di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, dengan ada persefahaman itu pertembungan sesama sendiri dapat diselesaikan melalui kerjasama yang baik.

Pada PRN Sabah September tahun lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah persefahaman antara PN dan PBS dengan PN diwakili BERSATU, GERAKAN, STAR dan SUPP, sementara BN dinaungi MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Kiandee berkata, PAS, BERSATU dan GERAKAN adalah parti yang akan bergerak sebagai PN di Melaka.

“Parti PN sudah dicuba di Sabah yang menampakkan kejayaan. Pada PRN Sabah, GRS menampakkan PN sebagai parti pilihan rakyat Sabah.

“Malah, pada ketika ini PN menerajui kerajaan sebagai ketua negeri di Sabah, soal parti sama ada diterima atau tidak, kalau kita buktikan di Sabah, PN adalah parti yang boleh diterima oleh rakyat Malaysia.

“Justeru, di Melaka juga kita harap dapat melihat PN sebagai pilihan untuk menerajui kerajaan di Melaka,” katanya.

Ditanya mengenai formula Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpandangan kerusi penyandang seharusnya diberikan kepada penyandang juga, Kiandee berkata, ia berbalik kepada pertembungan yang mana hanya berupaya memecahbelahkan undi.

“Namun, jika ada persetujuan dan kerjasama yang baik di antara PN dan BN itu, kumpulan ini boleh meraih lebih ramai sokongan.

“Saya juga setuju dengan formula Tuan Ibrahim yang dibuat berdasarkan faktor kurang pertembungan dalam kalangan parti yang berada dalam kerajaan ketika ini, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, itu bukan pilihan atau keputusan BERSATU kerana bagi PN jika terpaksa berhadapan dan bertembung tiga penjuru, jentera perlu bersiap siaga untuk menghadapi tiga atau empat penjuru dalam PRN berkenaan.

“Sebagai sebuah parti politik yang berdaftar dan mempunyai ahli di cawangan, kita harus bersiap siaga menghadapi apa juga keadaan,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *